
Zambry Abdul Kadir mengingatkan perkara ini dimaklumkan beliau dalam kenyataan 2 Mei lalu, namun isu itu terus dimainkan hari ini.
“Isu ini ternyata sengaja dijadikan polemik dan dimainkan oleh pihak tertentu yang cuba menganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan UiTM sekaligus menimbulkan kecelaruan dan perbalahan pelbagai pihak,” katanya dalam kenyataan.
Zambry berkata kementerian berpegang teguh pada Fasal 1A Akta UiTM, yang menyatakan universiti itu ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan.
“Saya ingin memaklumkan sekali lagi dengan tegasnya bahawa isu ini tidak dibincang dalam mana-mana mesyuarat di peringkat kementerian mahupun peringkat Jemaah Menteri,” katanya.
Terdahulu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM menyeru mahasiswa di universiti itu memakai pakaian hitam esok sebagai membantah rancangan membuka UiTM kepada pelajar bukan Bumiputera, lapor Malaysiakini.
Zambry pada 2 Mei lalu dilapor berkata kementerian tidak menerima permohonan daripada UiTM untuk membuka program latihan ijazah lanjutan kepakaran atau ‘parallel pathway’ kepada bukan Bumiputera.
Justeru, tiada perbincangan antara kementerian dan UiTM, katanya.
UiTM satu-satunya universiti yang menawarkan program ‘parallel pathway’ dengan kerjasama Institut Jantung Negara dalam bidang kardiotorasik.
Sebelum itu, media melaporkan Anggota Lembaga Program Parallel Pathway UiTM-IJN, Raja Amin Raja Mokhtar, mendedahkan UiTM bersetuju untuk membuka program itu secara sementara kepada graduan bukan Bumiputera.