Nahas LRT bertembung: Prasarana komited capai ‘penyelesaian adil’

Nahas LRT bertembung: Prasarana komited capai ‘penyelesaian adil’

Pengendali pengangkutan awam itu berkata ia telah memberikan bantuan kewangan kepada penumpang terbabit, termasuk perbelanjaan perubatan dan rawatan susulan.

rapidKL
Nahas melibatkan dua tren di Laluan Kelana Jaya pada Mei 2021 menyebabkan 213 orang cedera termasuk 47 yang mengalami cedera serius.
PETALING JAYA:
Prasarana Malaysia Bhd berkata ia komited memastikan penyelesaian adil untuk penumpang yang terlibat dalam nahas LRT tiga tahun lalu, susulan cadangan supaya saman terhadap pengendali pengangkutan awam itu diselesaikan di luar mahkamah.

Prasarana dalam kenyataan berkata ia “secara aktif meneliti penyelesaian adil” dengan pihak terlibat menerusi syarikat insuransnya, Allianz general Insurance Company Bhd.

“Prasarana ingin mengulangi kesediaannya meneliti penyelesaian adil dan sedang mengambil langkah untuk mengadakan perbincangan bersama pihak terlibat.”

Prasarana berkata susulan nahas berlaku, pihaknya menghubungi semua penumpang terbabit dan menawarkan bantuan kewangan khas serta kaunseling.

Menurutnya, bantuan kewangan turut melibatkan perbelanjaan perubatan dan rawatan susulan untuk penumpang berkenaan.

“Daripada penumpang yang terjejas, 90 individu menerima bantuan kewangan dan sejak itu beberapa tuntutan telah diselesaikan secara baik.”

Nahas melibatkan pertembungan dua tren LRT di laluan Kelana Jaya pada Mei 2021 mengakibatkan 213 kecederaan termasuk 47 secara serius.

Terdahulu hari ini, bekas Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong menggesa kerajaan bersikap berperikemanusiaan dan menyelesaikan saman difailkan seorang mangsa nahas berkenaan di Kuala Lumpur.

Wee berkata, Putrajaya tidak patut terus membiarkan mangsa itu, Florence Lee, terus disusahkan dengan menanggung lebih banyak kos perundangan sementara menunggu kes beliau dibawa ke mahkamah untuk empat tahun lagi, iaitu pada 2028.

Lee, 57, yang memfailkan saman tahun lalu terhadap Prasarana dan Rapid Rail Sdn Bhd, menuntut ganti rugi khas RM113,524.08 termasuk RM84,372.58 bagi perbelanjaan perubatan, fisioterapi dan pemulihan, selain ganti rugi am, teruk dan teladan mengikut penilaian mahkamah.

Menurutnya, nahas berlaku akibat kecuaian defendan selain pelanggaran kewajipan statutori.

Terdahulu hari ini, FMT melaporkan perbicaraan kes itu akan bermula pada 10 Jan 2028.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.