N Sembilan beli 16 kereta rasmi baharu, elak kos selenggara tinggi

N Sembilan beli 16 kereta rasmi baharu, elak kos selenggara tinggi

Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, sebahagian daripada kereta baharu itu sudah sampai.

Aminuddin Harun
Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, pembelian Toyota Camry bernilai kira-kira RM206,000 seunit itu bagi menggantikan Honda Accord yang digunakan sejak 2019. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Kerajaan Negeri Sembilan membuat 16 pembelian kereta baharu untuk kegunaan rasmi menteri besar dan beberapa anggota pentadbiran kerajaan negeri, setelah lima tahun kereta sedia ada digunakan.

Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, pembelian Toyota Camry bernilai kira-kira RM206,000 seunit itu bagi menggantikan Honda Accord yang digunakan sejak 2019.

“Ia sekarang dalam proses dan sebahagian daripada kereta itu sudah sampai. Sebelum ini, Honda Accord lebih lima tahun digunakan, memang lepas lima tahun kena tukar, kalau tidak penyelenggaraan tinggi, kita tak mampu bayar.

“Bagi kereta lama, exco (ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) boleh memohon untuk mendapatkannya dan ada bayaran dikenakan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini.

Beliau berkata, kereta rasmi baharu itu juga melibatkan setiausaha kerajaan negeri, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sembilan, pegawai kewangan negeri, penasihat undang-undang negeri dan mufti kerajaan Negeri Sembilan.

Sementara itu, Aminuddin meminta pemilik tanah memangkas pokok di kawasan mereka, khasnya di tepi jalan utama yang dilihat berisiko tumbang, sekali gus mengelakkan perkara tidak diingini.

Beliau turut mengingatkan pemain industri memastikan kontraktor dilantik mengurus atau melupuskan sisa buangan industri di kawasan ditetapkan bagi mengelakkan pembuangan haram.

“Saya tahu pihak industri membayar kontraktor ini, tetapi operator menghantarnya ke tempat pembuangan sampah haram, kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dan berkompromi dalam hal ini,” katanya mengulas aduan penduduk Kampung Jimah Lama meminta pihak berwajib mengambil tindakan susulan sebidang tanah persendirian di kampung itu dijadikan tapak pelupusan sampah haram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.