Hampir sejam jurubahasa baca 43 tuduhan, pegawai kastam mengaku tak salah

Hampir sejam jurubahasa baca 43 tuduhan, pegawai kastam mengaku tak salah

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban untuk menghadapi 43 pertuduhan menerima suapan hampir RM70,000.

Mohammad Zyed Ibrahim membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Seremban. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jurubahasa Mahkamah Sesyen Seremban mengambil hampir sejam membaca 43 pertuduhan terhadap seorang pegawai kastam yang mengaku tidak bersalah menerima rasuah hampir RM70,000 antara 2017 hingga 2022.

Sinar Harian melaporkan Mohammad Zyed Ibrahim, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Penguasa kastam Gred WK41 yang bertugas di kastam KLIA itu didakwa secara rasuah memperoleh suapan wang RM69,350 daripada pemilik sebuah syarikat, melalui pemindahan dalam talian sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori milik syarikat terbabit yang membawa keluar barang dari kargo KLIA.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 16 Sept 2017 hingga 16 Jan 2022 di sebuah bank di Nilai. Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, berkata pihak pendakwaan membantah jaminan untuk tertuduh kerana tindakannya merupakan pengkhianatan kepada masyarakat dan memberi imej negatif buat kastam.

“Tertuduh tidak pernah menghubungi atau menyerah diri kepada SPRM, walaupun iklan pencariannya dibuat di media tempatan.”

Beliau berkata tertuduh ditahan di rumah ibunya di Bintulu, Sarawak pada 7 Mei lalu, selepas proses pencarian selama 65 hari yang jelas menunjukkan dia tidak memberi kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan.

Peguam, Muhamad Aizat Fakri, merayu anak guamnya diberikan jaminan berpatutan atas alasan dia bapa tunggal kepada seorang anak berusia lima tahun.

Sebelum ditahan, katanya, tertuduh bekerja sebagai pemandu e-panggilan dengan pendapatan RM70 hingga RM100, selain perlu menanggung ibu dan abang menghidap penyakit mental.

“Tertuduh memang berasal dari Bintulu, bukannya melarikan diri ke sana dan tujuannya ke sana untuk menggalas tanggungjawab menjaga ibu dan abangnya yang kurang sihat.”

Hakim tidak membenarkan jaminan selepas menerima hujahan pihak pendakwaan bahawa tertuduh berisiko melarikan diri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.