Dipaksa layan sehingga 35 lelaki sehari, 13 mangsa eksploitasi seks diselamatkan

Dipaksa layan sehingga 35 lelaki sehari, 13 mangsa eksploitasi seks diselamatkan

Polis turut menahan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan serta dua lelaki dan dua wanita asing dipercayai ahli sindiket untuk membantu siasatan.

syndicate foreign women
Ketua Polis Johor, M Kumar (tengah) menunjukkan antara barang dirampas dalam lima serbuan di sekitar Johor Bahru dan Kulai dari 21 April hingga 1 Mei lepas. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Polis menumpaskan sindiket pemerdagangan orang bagi tujuan eksploitasi seks selepas menyelamatkan 13 wanita asing dalam lima serbuan di sekitar daerah ini dan Kulai dari 21 April hingga 1 Mei lepas.

Ketua Polis Johor, M Kumar berkata, semua mangsa berusia 22 hingga 49 tahun.

Beliau berkata, sindiket memperdaya mangsa menerusi tawaran pekerjaan sebagai operator kilang atau pembantu rumah.

“Namun, selepas sampai di Malaysia, mangsa dikurung, pasport dirampas dan dipaksa menjadi pelacur dengan dijanjikan bayaran RM2,300 sebulan. Mangsa bagaimanapun tidak diberikan bayaran dan duit mereka diambil sindiket,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, sindiket itu dipercayai memperdaya mangsa dengan membiayai kos perjalanan ke negara ini, sebelum dibawa ke rumah transit eksploitasi seks.

Beliau berkata, mangsa dikawal ketat dan dipercayai dipaksa melayani hingga 35 pelanggan sehari yang kebanyakannya warga asing dengan bayaran RM100 hingga RM200 untuk sekali perkhidmatan dan RM300 bagi satu malam.

Katanya, lapan individu dipercayai ahli sindiket terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita tempatan serta dua lelaki dan dua wanita asing berusia 24 hingga 50 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

Semua mangsa ditempatkan di rumah perlindungan dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.