Saman Halim Saad terhadap Dr M, 2 lagi berkait Renong batal

Saman Halim Saad terhadap Dr M, 2 lagi berkait Renong batal

Mahkamah berkata saman difailkan melebihi tempoh masa yang diperuntukkan dan perkara tuntutan sudah diputuskan dalam kes sebelum ini.

Mahkamah perintah Halim Saad bayar RM10,000 sebagai kos kepada Dr Mahathir Mohamad, Nor Mohamed Yakcop, dan kerajaan.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi membatalkan saman ahli perniagaan Halim Saad terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan dua individu lain berhubung tindakan kerajaan mengambil alih pegangannya dalam Renong-UEM Group.

Pesuruhjaya Kehakiman Suzana Muhammad Said berkata saman Halim itu difailkan melebihi tempoh masa yang diperuntukkan, dan perkara tuntutan itu sudah diputuskan dalam kes sebelum ini.

Mahkamah memerintahkan Halim membayar RM10,000 sebagai kos kepada Mahathir, dan defendan lain iaitu bekas menteri kewangan II Nor Mohamed Yakcop, dan kerajaan.

Jabatan Peguam Negara yang tampil mewakili ketiga-tiga defendan berhujah bahawa Halim tidak dapat meneruskan kes ini kerana ia perlu difailkan dalam tempoh masa yang diperuntukkan, menurut Akta Had Masa dan Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam.

Para defendan berkata Halim memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi lebih 10 tahun lalu untuk menutup kerugian yang didakwa dialami susulan pengambilalihan itu. Tuntutan itu juga dibatalkan.

Dalam tuntutan semasa, yang difailkan tahun lepas, Halim mendakwa Mahathir dan Nor Mohamed “memaksa” beliau melepaskan pegangannya dalam kumpulan Renong-UEM, berserta semua hak yang terletak kepadanya, tanpa pampasan mencukupi, lebih 22 tahun lalu.

Mahathir merupakan perdana menteri dari Julai 1981 hingga Oktober 2003, dan dari Mei 2018 hingga Februari 2020.

Dalam penyataan tuntutannya, Halim mendakwa Mahathir dan Nor Mohamed merupakan “penggerak utama” berkenaan pemerolehan dan pelucutan wajib tersebut.

Pegangan Halim dikatakan terdiri daripada 372 juta saham, dan mewakili 16% daripada keseluruhan modal saham Renong Bhd.

Halim mendakwa saham-saham itu, yang diperoleh Khazanah Nasional Bhd menerusi anak syarikat pada 2001, milik peribadinya dan bukan milik Umno. Fakta itu diperakui oleh perdana menteri ketika ini, Anwar Ibrahim, di Parlimen pada 24 Nov 1997.

Anwar ketika itu merupakan timbalan Mahathir, serta menteri kewangan dan timbalan presiden Umno.

Halim mendakwa UEM ketika itu memegang 32.6% saham dalam Renong, manakala Renong memegang 37.92% saham dalam UEM.

Saman ini menuntut amaun yang tidak dinyatakan sebagai pampasan, atau sebagai alternatif, ganti rugi am, teruk, dan teladan yang dinilai oleh mahkamah, berserta dengan faedah dan kos.

Malik Imtiaz Sarwar selaku peguam tampil bagi pihak Halim manakala peguam kanan persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly dan Sallehuddin Ali, mewakili Mahathir, Nor Yaakop, dan kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.