Putrajaya timbang buka semula zon aliran bebas Wang Kelian

Putrajaya timbang buka semula zon aliran bebas Wang Kelian

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata Putrajaya menyatakan komitmen dengan kelulusan peruntukan RM30 juta.

Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli bergambar dengan pegawai Jabatan Imigresen ketika melawat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Wang Kelian hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan membuka semula zon aliran bebas Wang Kelian yang dimansuhkan sejak 2015, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya Putrajaya menyatakan komitmen dengan kelulusan peruntukan RM30 juta dan antara perancangannya membabitkan pembangunan semula Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian dikenali Pos Imigresen Wang Kelian serta kawasan Arked Niaga Wang Kelian.

“Komponen bagi pembangunan semula Kompleks ICQS Wang Kelian ini bakal menempatkan semua agensi keselamatan utama yang akan bergabung bawah Malaysia Checkpoints and Border Agency (MCBA).

“Komponen lain termasuk laluan empat lorong membabitkan ‘inbound’ dan empat lorong ‘outbound’ (laluan keluar dan masuk) berbanding hanya satu lorong ketika ini,” katanya menurut Berita Harian selepas melawat Pos Imigresen Wang Kelian di Padang Besar.

Beliau berkata aspek keluar masuk orang ramai akan diperketatkan bagi meningkatkan elemen keselamatan berbanding dahulu yang hanya perlu menunjukkan kad pengenalan tanpa dokumentasi ketat.

Menurutnya, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menyambut baik cadangan itu dan menitahkan Kementerian Dalam Negeri serta kerajaan negeri membuat penyelarasan serta memudah cara pelaksanaannya.

“Apabila Kompleks ICQS Wang Kelian ini siap, perkara yang kita utamakan adalah tingkatkan sistem penyampaian di samping memudahkan aspek ekonomi dan perdagangan.”

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menyambut baik cadangan Putrajaya yang disifatkannya mampu menjadi pemangkin ekonomi negeri itu.

Zon aliran bebas Wang Kelian ditutup mulai 1 April 2015 sebagai langkah kawalan pergerakan keluar masuk dan sempadan bagi menyekat ancaman serta mengekang penyeludupan barangan terlarang.

Kawasan itu pernah digemparkan dengan kes pemerdagangan manusia membabitkan pendatang asing tanpa izin etnik Rohingya dari Myanmar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.