Proses tanah ECRL di Selangor lancar

Proses tanah ECRL di Selangor lancar

Menteri Loke Siew Fook berkata proses pengambilan tanah Ketika ini tertumpu di Seksyen terakhir jajaran rel, berdekatan daerah Klang.

ECRL dibangunkan untuk meningkatkan ketersambungan antara negeri di Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Proses pengambilan tanah bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Selangor berjalan dengan baik dan lancar, menurut Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Ketika ini, proses pengambilan tanah tertumpu di seksyen terakhir jajaran rel berkenaan, berdekatan daerah Klang yang melibatkan kawasan berkepadatan tinggi.

Loke yakin proses itu dapat diselesaikan mengikut jadual dengan kerjasama kerajaan negeri selain pengalaman syarikat kontraktor yang berjaya menyelesaikan proses pengambilan tanah di Kelantan, Terengganu, dan Pahang.

“Memang perkara biasa pada mulanya pemilik tanah tidak puas hati, mereka memerlukan penerangan atau mungkin nilai pampasan nak ditingkatkan dan sebagainya. Itu perkara biasa.

“Saya yakin apa sahaja isu yang timbul berkaitan pengambilan tanah akan diberikan pampasan yang seadilnya,” katanya selepas rakaman Bernama TV bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Loke berkata setakat ini, kerajaan negeri yang terlibat memberikan kerjasama baik kepada kontraktor projek ECRL, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL), dalam menyelesaikan isu berkenaan.

“Kerajaan negeri memainkan peranan paling besar dalam menyelesaikan pengambilan tanah kerana mereka juga tahu bahawa projek ini akan menguntungkan dan memberi manfaat kepada negeri masing-masing,” katanya.

Secara keseluruhannya, projek pembinaan rel sepanjang 665km itu berjalan mengikut jadual dengan jajaran di Pantai Timur sudah memasuki fasa pembinaan stesen.

Bahagian paling kritikal iaitu Terowong Genting sepanjang 16.39km yang melintasi Banjaran Titiwangsa kini mencapai 30% dan akan mengambil masa lebih setahun untuk disiapkan.

ECRL dibangunkan untuk meningkatkan ketersambungan antara negeri di Pantai Timur (Kelantan, Terengganu, dan Pahang) dan Pantai Barat (Negeri Sembilan, Selangor, dan Putrajaya), yang pada masa ini hanya sebahagian daripadanya dihubungkan perkhidmatan kereta api.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.