
Jumlah penduduk terbabit merangkumi 30.6 juta (90%) warganegara dan 3.4 juta (10%) bukan warganegara.
Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan berkata penduduk lelaki meningkat kepada 17.8 juta pada ST1 2024 daripada 17.4 juta (ST1 2023), manakala perempuan meningkat kepada 16.1 juta daripada 15.8 juta bagi tempoh yang sama.
“Secara keseluruhan, nisbah jantina penduduk adalah 111 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala nisbah jantina bagi penduduk warganegara adalah 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan,” katanya.
Penduduk Melayu menyumbang 57.9% (17.7 juta) daripada jumlah penduduk pada ST1 2024 (ST1 2023: 17.6 juta) manakala penduduk Cina, Bumiputera lain, dan India masing-masing kekal pada 22.6%, 12.2%, dan 6.6%.
Pada ST1 2024 juga, beliau menyatakan jumlah kelahiran hidup merekodkan penurunan sebanyak 9.4% atau 106,386 kelahiran berbanding 117,413 kelahiran pada ST1 2023.
Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 19,951 kelahiran (18.8%) manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Labuan dengan 323 kelahiran.
Mengenai angka kematian, sebanyak 47,964 kematian direkodkan pada ST1 2024 dengan Selangor merekodkan angka tertinggi iaitu 7,730 kematian manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 68 kematian.
“Kumpulan umur 60 tahun dan lebih merekodkan bilangan tertinggi iaitu 34,067 kematian (71%), diikuti 41 hingga 59 tahun (19.8%), 15 hingga 40 tahun (7%) dan 0 hingga 14 tahun (2.2%),” katanya.