
Aktivis hak migran Andy Hall berkata Malaysia secara sistematik gagal menangani pemerdagangan buruh secara efektif sekali gus boleh diturun taraf serta-merta dalam laporan TIP yang dikeluarkan Jabatan Negara AS.
Hall mendakwa walaupun berkali-kali amaran diberi kepada pihak berkuasa Malaysia berkaitan dakwaan berlakunya pemerdagangan, tetapi tidak banyak yang dilakukan.
“Berdasarkan kegagalan mengadakan libat urus dengan kerajaan Malaysia selama bertahun-tahun dalam isu ini serta kes pemerdagangan manusia dan buruh paksa yang lain, saya merumuskan sistem pengurusan dan pengambilan pekerja yang gagal masih wujud di negara ini,” katanya.
Beliau mendakwa sistem itu menggalakkan ketidakadilan, kurangnya pematuhan kepada undang-undang dan kurangnya kebertanggungjawapan terhadap nasib mangsa pemerdagangan.
Laporan TIP ialah penilaian tahunan oleh kerajaan AS yang menilai trend pemerdagangan global, memfokuskan usaha kerajaan dalam hukuman, perlindungan dan pencegahan.
Malaysia kini di Tahap 2 (senarai itu), meletakkannya antara negara yang tidak mematuhi sepenuhnya standard minimum ditetapkan AS tetapi masih ada usaha signifikan untuk berbuat demikian.
Kedudukan negara dinaik taraf ke Tahap 2 pada tahun lalu selepas diturunkan ke Tahap 3 – yang menyebabkan negara berisiko dikenakan sekatan export – pada 2021. Malaysia juga berada di Tahap 3 pada 2022.
Sebelum ini, beberapa pertubuhan antarabangsa menyatakan kebimbangan mengenai nasib buruh Bangladesh di Malaysia dengan dakwaan mereka diperdaya datang ke negara ini dengan dijanjikan pekerjaan yang tidak wujud.
Hall menganggap janji Menteri Sumber Manusia Steven Sim untuk mengambil tindakan terhadap perkara itu sebagai tidak memadai.
Sim pada minggu lalu mengumumkan satu unit khas di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan ditubuhkan bagi menangani aduan daripada pekerja asing.
Sementara itu, penyelaras migran Parti Sosialis Malaysia, Mohana Rani Rasiah memberi amaran tidak balas kerajaan yang ‘lembab dan tidak berkesan’ akan menjejaskan lagi reputasi Malaysia di pentas dunia.
“Krisis penipuan kuota pengambilan pekerja akan menjejaskan kedudukan kita. Perlu ada prosedur operasi standard (SOP) baharu untuk membantu Jabatan Tenaga Kerja menangani masalah yang dihadapi mangsa,” katanya.