Mahkamah larang Chegubard buat kenyataan perbicaraan kes fitnah

Mahkamah larang Chegubard buat kenyataan perbicaraan kes fitnah

Hakim K Muniandy berkata sebarang komen mengenai kes itu adalah sub judice dan merupakan satu penghinaan kepada pentadbiran keadilan.

Ahli Bersatu Badrul Hisham Shaharin diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak membuat sebarang kenyataan berkaitan perbicaraan kes fitnah jenayah dan hasutan yang dihadapinya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi mengeluarkan satu perintah yang melarang ahli Bersatu Badrul Hisham Shaharin, atau dikenali sebagai Chegubard daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kes fitnah jenayah yang dihadapinya.

Hakim K Muniandy yang membenarkan permohonan pihak pendakwaan berkata kesucian kes ini mesti dipelihara dengan apa cara sekalipun.

“Sehingga perbicaraan selesai, sebarang komen mengenai kes ini adalah sub judice dan merupakan satu penghinaan kepada pentadbiran keadilan,” katanya.

Badrul didakwa dengan fitnah jenayah di Mahkamah Sesyen pada 29 April. Beliau dituduh menerbitkan kenyataan yang beliau ada sebab untuk mempercayai akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Mahkamah sesyen membenarkan Badrul dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, tetapi menolak permohonan pendakwaan untuk mengenakan perintah yang melarangnya membuat sebarang komen berhubung kes itu.

Ini menyebabkan pihak pendakwaan memfailkan semakan di Mahkamah Tinggi.

Badrul juga didakwa dengan satu pertuduhan hasutan.

Di mahkamah berasingan, pendakwaan juga memohon perintah larangan terhadap Badrul untuk kes hasutannya yang lain, tetapi Hakim Azhar Abdul Hamid menolak permohonan tersebut, dengan menyatakan tiada sebab untuk menyemak keputusan asal Mahkamah Sesyen.

Bagaimanapun, hakim mengingatkan Badrul bahawa hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan mempunyai had yang tidak boleh dilangkaui.

Badrul diwakili oleh peguam Rafique Rashid Ali manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.