Kematian Zulfarhan: 5 bekas penuntut UPNM tarik balik rayuan terhadap pensabitan

Kematian Zulfarhan: 5 bekas penuntut UPNM tarik balik rayuan terhadap pensabitan

Mereka masih menjalani hukuman penjara 18 tahun bagi tuduhan mencederakan Zulfarhan Osman Zulkarnain tanpa niat membunuh.

Zulfarhan Osman Zulkarnain
Zulfarhan Osman Zulkarnain meninggal dunia pada 2017, selepas dicederakan oleh beberapa penuntut UPNM. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Lima bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menarik balik rayuan terhadap pensabitan bagi tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap pegawai kadet laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.

Akmal Zuhairi Azmal, Azamuddin Mad Sofi, Najib Razi, Afif Najmudin Azahat, dan Abdoul Hakeem Ali masih menjalani hukuman penjara 18 tahun bagi tuduhan mencederakan Zulfarhan tanpa niat membunuh.

Amer Hamzah Arshad selaku peguam kepada dua tertuduh memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa rayuan ditarik kerana bersifat akademik atau tidak lagi relevan, lapor Sinar Harian.

Timbalan Pendakwa Raya K Mangai selaku responden tidak membantah penarikan itu.

Dalam pada itu, prosiding diteruskan dengan pendengaran rayuan silang balas pihak pembelaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang menjatuhi hukuman penjara tiga tahun terhadap 12 lagi bekas penuntut UPNM bagi tuduhan mencederakan Zulfarhan.

Tertuduh ialah Hafiz Fauzan Ismail, Lukhmanul Hakim Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Sufi Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Ashraf Abdullah, Danial Firdaus Azmir, Hasif Ismail, Adib Iman Fuad Adi Sany, dan Syazwan Musa.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 Nov 2021 menjatuhi hukuman 18 tahun ke atas enam penuntut bagi tuduhan mencederakan Zulfarhan tanpa niat membunuh, empat tahun lalu.

Tertuduh ialah Akmal, Azamuddin, Najib, Afif, Hakeem, dan Shobirin Sabri. Lima tak termasuk Shobirin juga dikenakan hukuman penjara tiga tahun bagi tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman bagi kedua-dua pertuduhan itu berjalan serentak, bermula dari tarikh tangkapan iaitu 1 Jun 2017.

Lima tertuduh itu sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang Ketika itu memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Hakeem pula didakwa bersubahat membunuh di bawah Seksyen 109 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman sama.

Hakim mendapati semua tertuduh bersalah atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh, di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun.

Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia mencari computer riba, yang menurut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di dua bilik di asrama UPNM antara 21 Mei dan 22 Mei 2017.

Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.