Tebang segera pokok risiko tinggi, Zaliha arah DBKL

Tebang segera pokok risiko tinggi, Zaliha arah DBKL

Menteri Wilayah Persekutuan turut mengarahkan DBKL menyediakan garis panduan baharu berkaitan pokok berusia atau berisiko tinggi.

Zaliha Mustafa
Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa mengarahkan DBKL menebang pokok-pokok berisiko tinggi susulan kejadian kedua pokok tumbang di ibu negara hari ini.
PUTRAJAYA:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarahkan segera mengambil tindakan menebang pokok-pokok yang berisiko tinggi susulan kejadian terbaru pokok tumbang di ibu negara hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, DBKL juga pada masa sama diarahkan menambah baik Pelan Pengurusan Pokok Rendang dan menyediakan garis panduan baharu berkaitan pokok berusia atau berisiko tinggi yang dijangka siap pada Julai ini bagi memastikan insiden sama tidak berulang.

“Bagi memastikan kelestarian alam terus dijaga dan diberi perhatian, DBKL juga perlu memperincikan program penggantian semula pokok termasuk dengan meneliti kaedah-kaedah bagi memastikan pokok tersebut utuh dan selamat untuk jangka masa panjang,” katanya.

Sebatang pokok tumbang di Jalan Pinang berhadapan Kuwait Bank di ibu kota hari ini dan hampir terkena kenderaan yang membawa Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh.

Pokok berkenaan sebaliknya menghempap bahagian belakang kereta peronda polis jenis, sebuah Proton X70, yang mengiringi Ab Rauf.

Pada 7 Mei lepas, kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail akibat hujan lebat dan angin kencang, meragut nyawa seorang lelaki dan menghempap 17 kenderaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.