Pokok tumbang, Jalan Pinang tutup sementara

Pokok tumbang, Jalan Pinang tutup sementara

Pokok itu tumbang menimpa beberapa kenderaan, tetapi tiada kecederaan dilaporkan.

Beberapa klip video tular di media sosial menunjukkan kejadian pokok tumbang di Jalan Pinang, Kuala Lumpur, sebentar tadi. (Gambar KLCCC)
PETALING JAYA:
Sebatang pokok tumbang di Jalan Pinang, Kuala Lumpur, ketika hujan lebat petang ini, menyebabkan jalan itu ditutup sementara.

Susulan kejadian, beberapa klip video tular di media sosial menunjukkan detik pokok itu tumbang menimpa beberapa kenderaan. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan.

Menurut Astro Radio Traffic di X, kejadian itu menyebabkan keseluruhan jalan di depan Bank Kuwait terhalang. Kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan pada masa hantaran dibuat di platform media sosial itu, dan lalu lintas dari KLCC mengalami kesesakan.

Pengguna jalan raya dinasihatkan agar mencari laluan alternatif kerana semua lorong di Jalan Pinang ditutup.

Selasa lepas, sebatang pokok besar tumbang di Jalan Sultan Ismail mengakibatkan seorang lelaki maut dan dua lagi cedera, selain perkhidmatan monorel terganggu.

Kejadian itu turut mengakibatkan laluan berbumbung berdekatan runtuh dan beberapa bahagian pokok menimpa landasan monorel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.