
Ketua Polis Johor Bahru Utara Balveer Singh Mahindar Singh, berkata wanita berusia 46 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu memperkenalkan diri sebagai pegawai perkhidmatan penghantar menyatakan kononnya dia mempunyai bungkusan mengandungi barangan peribadi.
Beliau berkata, panggilan berkenaan kemudiannya disambungkan kepada suspek menyamar sebagai pegawai polis menyatakan kononnya dia terlibat dengan pengubahan wang haram dan boleh ditangkap.
“Mangsa telah diminta membuat bayaran dengan menggadaikan barang kemas miliknya di kedai pajak gadai bagi menyelesaikan kes terbabit.
“Mangsa kemudiannya mengikut arahan mereka dan membuat 34 transaksi dalam talian ke empat akaun berlainan dengan jumlah keseluruhan RM150,600 sebelum membuat laporan polis semalam,” katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.