Pakar saran masukkan penyediaan makanan berzat dalam kursus kahwin

Pakar saran masukkan penyediaan makanan berzat dalam kursus kahwin

Pakar Kesihatan Awam Dr Mohammad Farhan Rusli berkata pencegahan kekurangan zat makanan harus dimulakan dari rumah sebaik saja ibu mula mengandung.

Penasihat Kesihatan Awam Selangor Dr Mohammad Farhan Rusli berkata ibu bapa memainkan peranan utama memahami kepentingan menyediakan makanan berzat anak dan tahu cara penyediaan makanan tidak mahal tetapi berkhasiat. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Seorang pakar kesihatan awam menyarankan kursus penyediaan makanan berkhasiat dimasukkan dalam kursus perkahwinan susulan laporan Unicef berhubung kanak-kanak kekurangan zat makanan dengan lebih separuh dilaporkan makan kurang tiga kali sehari.

Penasihat Kesihatan Awam Selangor, Dr Mohammad Farhan Rusli, berkata pencegahan kekurangan zat makanan harus dimulakan dari rumah sebaik saja ibu mula mengandung.

Dr Mohammad Farhan Rusli.

“Masa kritikal adalah 1,000 hari pertama bayi (bermula dari kandungan) dan berpanjangan hingga ke peringkat sekolah.

“Kerajaan boleh mengambil langkah menjalankan kursus ini pada waktu mengambil sijil pernikahan dan mewujudkan kelas tambahan di klinik kesihatan,” katanya kepada FMT.

Pada 8 Mei lalu, felo penyelidik di Felo Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia, Muhammed Abdul Khalid, dilaporkan berkata Laporan Dapatan Utama Ranjau Sepanjang Jalan terbitan Unicef Malaysia mendapati 52% kanak-kanak, khasnya di kawasan bandar makan kurang tiga kali sehari berbanding sebelum pandemik sebanyak 45%.

Muhammed yang juga ketua pasukan kajian Unicef itu berkata, faktor harga makanan tinggi dan kekangan kewangan menjadi penghalang utama buat ibu bapa menyediakan makanan berkhasiat bagi anak mereka.

Katanya, menjimatkan perbelanjaan dan mengurangkan makan antara pendekatan diambil isi rumah untuk menangani kesan kenaikan kos sara hidup yang mendorong tabiat pemakanan berubah dengan ketara, di mana 46% melaporkan makan lebih banyak mi segera berbanding 40% semasa pandemik.

Selain campur tangan kerajaan, Farhan berkata ibu bapa memainkan peranan utama memahami kepentingan menyediakan makanan berzat yang mencukupi bagi anak dan tahu cara penyediaan makanan tidak mahal tetapi berkhasiat.

Beliau turut mencadangkan kerajaan menyediakan program khusus seperti pemberian makanan dan bakul makanan buat kumpulan sasar.

“Program jangka pendek adalah menyediakan program pemakanan yang boleh membantu kanak-kanak, seperti program bakul makanan, yang boleh diperluaskan kepada ‘community feeding’ bagi projek perumahan rakyat (PPR), golongan miskin bandar dan luar bandar.

“Program lain adalah penyediaan makanan seimbang di sekolah rendah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.