
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, keadaan kesihatan anak jati Pulau Pinang itu semakin baik selepas menjalani pembedahan ketiga dan sangat positif tentang keadaan dirinya.
“Beliau kelihatan cergas dan teruja tentang fisioterapi kerana ingin kembali beraksi,” katanya kepada pemberita pada Program ALAM Be-Leaf Mangrove Tree Planting.
Dalam pada itu, Hannah berkata, Institut Sukan Negara (ISN) kini bekerjasama dengan doktor yang merawat Faisal bagi memastikan perkembangan kesihatannya berada pada landasan yang betul.
“Kita kena rujuk dengan doktor (kadar kesembuhan) dan doktor agak yakin Faisal sangat positif tentang diri sendiri. Ada atlet yang mungkin sedih dan merasakan tidak dapat melakukannya lagi, tetapi Faisal berbeza,” katanya.
Pada 5 Mei lepas, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.