Kalah KKB, PN diseru tinggal politik toksik

Kalah KKB, PN diseru tinggal politik toksik

Ahli Parlimen DAP Syahredzan Johan berkata gabungan itu patut terima hakikat hanya politik sederhana mampu rangkul sokongan segenap masyarakat.

MUHYIDDIN YASSIN CERAMAH PERDANA PERIKATAN NASIONAL PPK KKB
Ahli Parlimen DAP Syahredzan Johan, berkata sejak dari awal kempen PRK Kuala Kubu Baharu gabungan itu intai peluang kemenangan dengan memainkan isu kaum dan agama.
PETALING JAYA:
Kemenangan Pang Sock Tao pada PRK Kuala Kubu Baharu sepatutnya menyedarkan Perikatan Nasional (PN) meninggalkan politik ‘pecah belah dan toksik’, kata Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan.

Katanya, jelas politik digunakan PN membawa pulangan kian berkurangan.

“Jelas bahawa politik seperti ini membawa pulangan yang kian berkurangan dan tidak mampu untuk menawan negeri seperti Selangor mahupun negara Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga menuntut PN bermuhasabah dan menerima hakikat Malaysia adalah negara pelbagai kaum dan agama.

“…dan hanya politik kesederhanaan dan perpaduan boleh merangkul sokongan daripada segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Syahredzan Johan
Syahredzan Johan

Syahredzan berkata, sokongan rentas kaum diperoleh Pang membawa kemenangan buat calon kerajaan perpaduan, sekali gus menunjukkan konfigurasi politik kebersamaan menjadi formula terbaik.

“Di sebelah PN pula, dari awal lagi mereka mengintai peluang kemenangan dengan memainkan isu kaum dan agama. Isu sekolah vernakular, agama, dan bangsa calon yang bertanding dan sentimen ‘Melayu hilang kuasa’ telah dimainkan oleh pemimpin PN semasa kempen,” katanya.

Calon PN, Khairul Azhari Saut tumpas kepada Pang yang meraih 14,000 undi, menang majoriti 3,869 undi.

Khairul mendapat 10,131 undi, sedikit menurun berbanding 10,743 undi diterima calon Gerakan, Henry Teoh, pada PRN Ogos lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.