
Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri, berkata pengadu lelaki tempatan berusia 55 tahun itu memaklumkan kerani syarikat miliknya ditipu sindiket phone scam terbabit, yang menyamar sebagai dirinya dan memberi arahan mengeluarkan duit syarikat.
Beliau berkata, kira-kira 1.50 tengah hari pada 8 Mei, kerani syarikat itu menerima pesanan WhatsApp daripada nombor telefon pengadu, memberikan arahan membuat pindahan wang akaun syarikat ke dalam akaun penama tidak dikenali berjumlah RM30,000.
Berikutan itu, anak pengadu telah meluluskan transaksi pindahan wang berkenaan kerana beranggapan pengadu yang memberikan arahan.
“Pada 9 Mei, lebih kurang 1.45 tengah hari, kerani syarikat pengadu sekali lagi telah melakukan transaksi pindahan wang berjumlah RM8,000 ke akaun berbeza,” katanya menurut Bernama.
Yusri berkata, pada hari yang sama, sebanyak tiga kali transaksi pindahan wang telah dilakukan oleh kerani syarikat berjumlah RM86,450 ke dalam dua akaun berbeza.
Beliau berkata, pengadu hanya menyedari nombor telefonnya telah digodam ketika berada di Hat Yai, Thailand semalam apabila dihubungi rakannya yang bertanyakan sama ada dirinya mempunyai masalah kewangan dan meminta untuk meminjam wang.
Menurutnya, pengadu tidak pernah memberikan sebarang arahan pindahan wang atau mahu meminjam wang daripada rakan-rakannya.
“Setelah disemak, pengadu mendapati sebanyak lima kali transaksi pindahan wang daripada akaun syarikatnya ke tiga akaun yang berbeza berjumlah RM124,450,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (tipu) dan siasatan masih dijalankan.
Justeru, Yusri menasihatkan orang ramai tidak sesekali memasukkan wang ke dalam akaun tidak dikenali, selain tidak membuka sebarang pautan serta jangan memuat turun dokumen tidak diketahui di laman media sosial.
Orang ramai juga boleh menyemak akaun bank yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.semakmule/ sebelum membuat sebarang transaksi pindahan atau kemasukan wang, selain menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 sebelum memindahkan wang ke akaun pihak ketiga untuk pengesahan.