
Augustine Anthony berkata, penting majikan menyimpan dokumentasi yang betul dalam proses temu duga, termasuk mengambil minit.
Beliau berkata demikian ketika membenarkan tuntutan pemecatan tidak adil oleh bekas pembantu pengurus UiTM Holdings, yang menjalani tempoh percubaan selama enam bulan di jabatan sumber manusia syarikat berkenaan.
Anthony berkata, tidak dapat dipertikai bahawa Sharifah Rozaitul Akma Syed Zahir dipilih bekerja untuk syarikat itu selepas bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dr Ainul Azreen Adam, di kedai kopi pada Disember 2021, ketika dia masih bekerja di tempat lain.
“Bagaimanapun, cara penuntut ditemu duga bagi peranannya dalam syarikat mendedahkan banyak perkara mengenai cara pegawainya menjalankan tugas mereka.
“Tiba masa bagi mahkamah menekankan bahawa temu duga melibatkan calon pekerja dalam syarikat adalah lebih baik dilaksanakan dalam persekitaran kerja, bukan kedai kopi seperti diperkatakan penuntut,” katanya dalam 42 muka surat penganugerahan diterbitkan pada Khamis.
Anthony berkata, melakukan sedemikian memupuk profesionalisme dan memastikan dokumentasi sewajarnya berkait proses temu duga dan minitnya disimpan.
Selepas mempertimbangkan keterangan, Anthony menganugerahkan penuntut 12 bulan gaji tunggakan gaji, maksimum dibenarkan oleh undang-undang bagi pekerja dalam tempoh percubaan, berjumlah RM60,000.
“Mahkamah ini tidak memerintahkan sebarang pampasan sebagai ganti pengambilan semula kerana penuntut tidak berkhidmat dengan syarikat bagi tempoh minimum setahun perkhidmatan dan juga disebabkan penuntut dalam tempoh percubaan ketika dipecat,” katanya.
Sharifah Rozaitul mula bekerja bermula 17 Jan 2022, dengan ditugaskan menyelia keseluruhan fungsi sumber manusia syarikat berkenaan, termasuk bayaran gaji, pengambilan, dan disiplin kakitangan.
Bagaimanapun, dia secara mengejut dipindahkan ke pejabat ketua pegawai eksekutif kumpulan pada 30 Mac 2022, atas alasan kononnya ‘kerja tidak memuaskan’.
“Mengikut versi penuntut bahawa dia menunjukkan prestasi baik dalam jabatan sumber manusia kumpulan sehinggalah dia dipindahkan yang menyebabkan dia mempunyai sedikit atau tiada kerja dilaksanakan, memandangkan tidak diberikan sebarang diskripsi tugas atau tanggungjawab, selain hanya berkomunikasi secara minimal dengan ketua pegawai eksekutif kumpulan.
“Mengikut versi penuntut bahawa sepanjang perkhidmatannya, pihak syarikat gagal melihat prestasinya kerana tiada penilaian prestasi dibuat dan pihak syarikat juga gagal mematuhi prosedur tempoh percubaan dan pengesahan,” kata Anthony.
Pada 29 Jun 2022, penuntut dimaklumkan dia tidak akan disahkan perkhidmatan kerana prestasi tidak baik dan mendapat penarafan di bawah purata ketika tempoh percubaan.
Anthony berkata, perlu diingatkan bahawa penuntut pada masa itu di bawah tempoh percubaan bagi tugas spesifik dan tanggungjawab tertentu.
“Pihak syarikat mesti memberikan tempoh masa secukupnya kepada penuntut menyesuaikan diri dalam persekitaran baharu kerja dan untuk tujuan itu dia diletakkan dalam percubaan,” katanya.
Peguam Balan S Nair dan Ong Ewe Lim mewakili Sharifah Rozaitul, manakala Mokhzani Harris Yusof mewakili pihak syarikat.