
Dalam mesej WhatsApp disebarkan semalam, kononnya memetik laporan Reuters, mendakwa langkah itu susulan sekatan dikenakan AS terhadap empat syarikat berpangkalan di Malaysia.
Dalam kenyataan di platform X, Reuters berkata dakwaan sedemikian adalah palsu.
“Reuters tidak melaporkannya,” katanya.
Dalam pada itu, Kedutaan AS di Malaysia dalam platform X, turut menafikan apa jua bentuk sekatan baharu dikenakan kepada syarikat Malaysia mahupun menyenaraikan negara sebagai penaja keganasan.
“Penipuan disebar dalam WhatsApp dan media sosial lain adalah palsu,” katanya.
Laporan palsu memetik Reuters muncul selepas Pegawai Kanan Perbendaharaan AS Brian Nelson mengunjungi Malaysia, di mana beliau memaklumkan sekatan dikenakan tahun lalu ke atas syarikat berkenaan masih berkuat kuasa.
Perbendaharaan AS mengenakan sekatan terhadap empat syarikat itu pada Disember selepas dilaporkan menyediakan komponen untuk program persenjataan Iran.
Nelson, yang juga setiausaha rendah Perbendaharaan AS untuk terorisme dan risikan kewangan, berada di Malaysia sebelum ini bagi melaksanakan agenda Perbendaharaan AS memerangi pembiayaan keganasan dan keuntungan dijana untuk Iran dan proksinya.
Terdahulu, Reuters melaporkan berlaku peningkatan pergerakan wang kepada Iran dan proksinya, termasuk Hamas menerusi sistem kewangan Malaysia.
Selain mendakwa pertemuan antara pegawai AS itu dengan rakan sejawat dari Malaysia berlangsung ‘suram dan singkat’, laporan palsu Reuters itu antara lain mendakwa pegawai AS meminta kerajaan Malaysia ‘merendahkan’ sokongan negara kepada Hamas dan konflik di Gaza.
Laporan itu juga mendakwa AS ‘tidak teragak-agak mengenakan sekatan ekonomi lebih ketat’ ke atas Malaysia jika perlu.