PRK KKB: Pasangan kembar teruja jumpa ‘2 Pang’

PRK KKB: Pasangan kembar teruja jumpa ‘2 Pang’

Pasangan Chan Sher Er dan Chan Sher Ni bertemu calon PH Pang Sock Tao serta kembarnya Pang Sock Ying ketika mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khing Ming.

twin pang sock tao kkb prk
Chan Sher Er dan Chan Sher Ni bergambar dengan calon PH Pang Sock Tao dan Pang Sock Ying.
HULU SELANGOR:
Pasangan kembar Chan Sher Er dan Chan Sher Ni antara pengundi yang turun awal untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada PRK Kuala Kubu Baharu hari ini.

Berusia 25 tahun, pasangan itu tiba sebelum pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khing Ming dibuka jam 8 pagi tadi.

Lebih mengujakan mereka apabila dapat bertemu dengan calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao yang turut mempunyai pasangan kembar dikenali Pang Sock Ying.

“Saya terkejut kerana salah satu calon bertanding juga kembar macam kami,” kata Sher Ni yang juga kakak kepada pasangan itu ketika ditemui FMT.

Sementara itu, Sock Tao memberitahu Sock Ying adalah kakaknya yang  turut membantunya dalam kempen sebelum ini.

Seramai 39,269 pengundi layak untuk mengundi pada PRK Kuala Kubu Baharu hari ini dengan 18 pusat pengundian dengan 74 tempat mengundi atau saluran disediakan.

Kesemua pusat mengundi berkenaan dibuka sehingga 6 petang kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 pengundi, akan ditutup pada 2 petang.

Selasa lalu, 97 peratus atau 769 anggota polis, tentera dan pasangan masing-masing telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal di dua pusat mengundi awal iaitu di Rejimen Semboyan Divisyen Ke-4 Infantri, Kem Erskine dan Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia, yang mempunyai tiga tempat mengundi atau saluran.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Pilihan raya kecil itu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.