Polis siapkan lakaran wajah individu simbah asid, kata KPN

Polis siapkan lakaran wajah individu simbah asid, kata KPN

Lakaran fotofit itu akan disiapkan hari ini berdasarkan keterangan saksi dan CCTV.

Razarudin Husain
Ketua Polis Negara Razarudin Husain beri jaminan siasatan kes Faisal Halim disimbah asid akan tetap diteruskan walaupun memakan masa.
PETALING JAYA:
Polis sedang menyiapkan lakaran wajah individu dalam kes Faisal Halim disimbah asid, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Beliau berkata, lakaran fotofit itu akan dibuat hari ini berdasarkan bantuan saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Razarudin berkata, lebih 12 individu telah dirakam keterangan setakat ini.

“Daripada situ kita akan kumpul lagi maklumat selain mengkaji lagi cap jari di lokasi kejadian,” katanya menurut Utusan Malaysia selepas sebuah program di Kuala Lumpur.

Razaran turut memberi jaminan siasatan melibatkan pemain bola sepak Selangor FC itu tetap diteruskan walaupun mengambil masa lama.

“Kita akan teruskan siasatan kita macam kita menyiasat kes Zayn Rayyan, walaupun mungkin ambil masa panjang dan lama, kita akan buat siasatan, Insya-Allah.

“Atas risikan dan siasatan, barulah kita mengambil tindakan menangkap ke atas suspek yang kita kenal pasti kerana kita tidak boleh menangkap orang sesuka hati,” katanya.

Pada 5 Mei lalu, Faisal cedera selepas disimbah asid dipercayai oleh dua individu bermotosikal di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, kira-kira 5 petang.

Akibat kejadian itu, beliau yang juga pemain Harimau Malaya disahkan melecur tahap empat dan melalui beberapa pembedahan.

Susulan itu, polis memberkas dua lelaki secara berasingan di Pandan Indah, Ampang, dan Bangi pada Ahad serta Isnin lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.