
Menurut keputusan tidak rasmi di laman sesawang DAP, PH mendahului dengan 1,190 undi manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 320 undi.
Calon bebas pula mendapat enam undi manakala Parti Rakyat Malaysia (PRM) memperoleh tiga undi.
PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH Pang Sock Tao, Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainuddin (PRM) dan Nyau Ke Xin (bebas).
Penjumlahan undi berlangsung di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, dengan keputusan rasmi dijangka diumumkan pada 9 malam.
Proses pengundian hari ini melibatkan 39,269 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.
Kerusi itu kosong susulan kematian penyandang Lee Kee Hiong, 58, dari DAP pada 21 Mac lalu akibat kanser.
Pada PRN pada Ogos lalu, Lee menewaskan calon dari PN, PRM dan Muda dengan majoriti 4,119 undi sekali gus mengekalkan kerusi itu untuk penggal ketiga.