Mutang serius dalam usaha reformasi Parlimen, kata Anwar

Mutang serius dalam usaha reformasi Parlimen, kata Anwar

Perdana menteri berkata kesungguhan Mutang Tagal untuk mengangkat martabat Parlimen ke tahap lebih tinggi dapat dilihat sebaik dilantik memegang jawatan speaker Dewan Negara.

Anwar Ibrahim anggap Mutang Tagal seorang yang berprinsip dan menjaga nilai yang baik.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan negara kehilangan individu yang sangat serius dalam usaha reformasi Parlimen dengan pemergian Speaker Dewan Negara Mutang Tagal.

Anwar berkata, walaupun lama meninggalkan bidang politik, namun kesungguhan Mutang untuk mengangkat martabat Parlimen termasuk Dewan Negara ke tahap lebih tinggi dapat dilihat sebaik dilantik memegang jawatan itu Februari lalu.

“Mendiang mula membicarakan soal reformasi Parlimen dengan serius bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat (Johari Abdul). Saya anggap dia seorang yang berprinsip dan menjaga nilai yang baik.

“Oleh kerana itu, kita kehilangan Yang Dipertua Dewan Negara yang mampu mengangkat martabat Dewan Negara dan mengusulkan ‘reform’ dalam sistem Parlimen negara kita,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Anwar tiba kira-kira 12 tengah hari di Pusat Peringatan Nirvana 2, di sini, bagi memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Mutang, yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara semalam.

Anwar meluangkan masa kira-kira 20 minit bertemu ahli keluarga Mutang termasuk balu mendiang Ho May Leng dan tiga anak mereka bagi menyampaikan salam takziah.

Mutang, 69, dimasukkan di IJN pada 6 Mei lalu sebaik tiba dari Azerbaijan, selepas mengadakan lawatan kerja ke negara itu bermula 29 April.

Selain Anwar, turut hadir memberi penghormatan terakhir setakat 1 tengah hari ialah Yang Dipertua Sarawak Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Johari dan timbalannya Ramli Mohd Nor serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Menurut kenyataan Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara semalam, satu lagi majlis penghormatan terakhir buat mendiang Mutang akan diadakan di Gereja Borneo Evangelical Mission (BEM) di Miri, Sarawak, bermula 10 pagi esok.

Mendiang dijangka dikebumikan di Perkuburan SIB, Lambir, Miri pada Isnin.

Pada 19 Feb lalu Mutang yang juga bekas Ahli Parlimen Bukit Mas dilantik sebagai speaker Dewan Negara ke-20 menggantikan Wan Junaidi yang meletakkan jawatan selepas dilantik sebagai Yang Dipertua Sarawak.

Pelantikan Mutang mencipta sejarah apabila mendiang yang berasal dari Lawas menjadi pemimpin pertama daripada etnik Lun Bawang memegang jawatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.