Kekal rendah diri, terus bekerja, Loke beritahu Pang

Kekal rendah diri, terus bekerja, Loke beritahu Pang

Setiausaha agung DAP itu menasihatkan Adun Kuala Kubu Baharu yang baru dipilih itu meneruskan usaha untuk mengukuhkan perpaduan.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook bercakap kepada wartawan selepas kemenangan Pakatan Harapan di PRK Kuala Kubu Baharu.
KUALA LUMPUR:
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menasihati Adun Kuala Kubu Baharu yang baharu dipilih Pang Sock Tao untuk kekal merendah diri dan segera bekerja selepas kemenangan ‘meyakinkan’ dalam PRK itu.

Loke berkata, Pang perlu berkhidmat dengan ikhlas dan meneruskan usaha untuk mengukuhkan perpaduan pelbagai komuniti di kawasan itu.

“Banyak inisiatif dasar bantuan kerajaan mesti disalurkan kepada penduduk. Beliau bukan hanya wakil rakyat tetapi penghubung antara kerajaan negeri dengan rakyat.

“Antara agenda adalah untuk membangunkan ekonomi tempatan khususnya mempromosikan pelancongan di Kuala Kubu Baharu. Ini adalah agenda utama yang beliau perlu lakukan sebagai Adun Kuala Kubu Baharu,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri Sambutan 25 Tahun PKR.

Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalkan kerusi itu dalam PRK hari ini selepas Pang menang dengan majoriti 3,869 undi.

Bekas setiausaha akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming itu mendapat 14,000 undi.

Pencabarnya Khairul Azhari Saut dari Perikatan Nasional mendapat 10,131 undi, manakala calon bebas Nyau Ke Xin memperoleh 188 undi dan Hafizah Zainuddin dari Parti Rakyat Malaysia menerima 152 undi.

Loke berkata kemenangan PH sangat meyakinkan kerana terdapat peningkatan sokongan Orang Asli dan dalam kalangan anggota polis serta tentera.

“Secara keseluruhan kita menerima sokongan daripada keseluruhan kaum dan komuniti, satu kejayaan manis kepada kerajaan perpaduan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.