Rapat saf, kembalikan kegemilangan Umno, kata Ismail

Rapat saf, kembalikan kegemilangan Umno, kata Ismail

Bekas naib presiden Umno berkata selama lebih tujuh dekad parti tetap berpegang teguh kepada ideologi asal berjuang demi agama, bangsa dan tanah air.

ismail sabri
Ismail Sabri Yaakob menyeru ahli Umno merapatkan saf dan berpegang teguh kepada prinsip perjuangan parti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Umno disaran bersatu padu dan kekal mempertahankan prinsip perjuangan bagi mengembalikan kegemilangan parti Melayu itu.

Bekas naib presiden, Ismail Sabri Yaakob, berkata selama lebih tujuh dekad Umno tetap berpegang teguh kepada ideologi asal parti, yang berjuang demi agama, bangsa dan tanah air tanpa meminggirkan kaum lain walaupun parti itu khusus untuk Melayu.

“Umno menjadi payung kepada bangsa Malaysia tanpa mengira ras dan kepercayaan untuk hidup aman makmur sejak merdeka sehingga hari ini.

“Kejayaan ini adalah disebabkan asas dan ideologi parti ini yang amat jelas berjuang demi agama, bangsa dan negara dengan penuh kesederhanaan, tanpa meminggirkan mana-mana pihak,” kata bekas perdana menteri di Facebook sempena Ulang Tahun Umno ke-78, hari ini.

Enam perdana menteri terawal adalah daripada Umno. Populariti Umno merosot sejak Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan dalam PRU14 pada 2018, selepas 61 tahun memerintah negara.

Sementara itu, Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera berkata banyak suka dan duka dilalui Umno dalam membangunkan tanah air.

“Rapatkan saf dan berpegang teguh kepada prinsip perjuangan kerana hanya kita – ahli-ahli Umno – yang mampu mengembalikan semula kegemilangan lampau.

“Terlalu banyak cabaran suka dan duka yang telah dilalui, perjalanan yang panjang, lebih tujuh dekad ini telah membuktikan jasa dan keupayaan Umno membangunkan tanah air yang tercinta ini,” katanya.

Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946 di Johor Bahru dan menentang keras gagasan Malayan Union yang dicadangkan British.

Parti itu kemudian membentuk perikatan bersama MCA disusuli MIC. Parti Perikatan bertangungjawab menuntut kemerdekaan Malaya yang dicapai pada 1957.

Ia kemudian dikenali sebagai BN iaitu gabungan 13 parti diketuai Umno.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.