
Menurut Pejabat Speaker Dewan Negara, Mutang meninggal dunia pada 11.46 pagi tadi di Institut Jantung Negara (IJN), meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak.
Mutang menjalani rawatan di IJN sejak Isnin lepas, setelah pulang selepas jatuh sakit ketika mengikuti lawatan kerja rasmi ke Azerbaijan.
“Keluarga mendiang mengucapkan ribuan terima kasih atas kiriman takziah serta doa yang diberikan, dan menghargai ruang masa yang diberikan kepada mereka dalam menghadapi masa yang sukar ini,” kata pejabatnya dalam kenyataan.
Mengambil alih tugas Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Mutang dilantik sebagai speaker Dewan Negara pada 19 Feb lepas.
Seorang peguam terlatih, beliau ialah Orang Ulu pertama dilantik sebagai speaker Dewan Negara.
Mutang merupakan abang kepada Judson Sakai Tagal, bekas menteri muda Sarawak yang terkorban dalam nahas helikopter pada 2004.
Ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu itu berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas selama dua penggal dari 1982 hingga 1990.