PRK KKB: PH ada sedikit kelebihan, ramal badan pemikir

PRK KKB: PH ada sedikit kelebihan, ramal badan pemikir

Ilham Centre berkata kempen tema agama serta kaum yang diulang Perikatan Nasional (PN) pada PRK itu sudah tepu.

kkb
Seramai 40,044 pengundi layak memilih wakil rakyat baharu pada PRK Kuala Kubu Baharu, esok.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) mempunyai sedikit kelebihan untuk mengekalkan DUN Kuala Kubu Baharu di sebalik cabaran sengit oleh Perikatan Nasional (PN), kata sebuah badan pemikir.

Ilham Centre berkata strategi PN meletak calon Melayu Khairul Azhari Saut untuk meraih sebanyak mungkin sokongan pengundi komuniti itu dilihat tidak berkesan, malah kempen tema agama serta kaum sudah tepu ke siling.

“Kawasan bercampur seumpama Kuala Kubu Baharu ini, kempen jalur keras tidak efektif dan sesuai,” katanya dalam laporan pola pengundi dan prediksi PRK Kuala Kubu Baharu yang berlangsung esok.

PRK itu menyaksikan pertembungan Khairul, Pang Sock Tau (PH), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (bebas).

Badan pemikir itu dalam kajian di lapangan mendapati PAS yang sering menjadi jentera dan tulang belakang PN dilihat tidak ghairah berkempen.

“Kali ini tidak nampak kelibat jentera PAS dari negeri-negeri lain selain Selangor berkubu di setiap pusat daerah mengundi (PDM).

“Penyertaan PAS Selangor juga tidak agresif, menyumbang kepada suasana sebegini rupa,” katanya yang turut membangkitkan prestasi ‘muram’ tiga wakil rakyat PN  iaitu bagi Parlimen Hulu Selangor, DUN Hulu Bernam dan Batang Kali.

“Isu YB PN tidak ‘perform’ menjadi topik perbincangan pengundi di sini, tetapi kempen calon lain tidak memanfaatkan isu ini ke khalayak lebih luas,” katanya.

Untuk rekod Parlimen Hulu Selangor diwakili Mohd Hasnizan Harun dan Hulu Bernam (Mu’izzuddeen Mahyuddin) dari PAS dan wakil Bersatu Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani mewakili   Batang Kali.

Kajian Ilham Centre itu dilakukan secara tatap muka membabitkan 404 responden iaitu pengundi berdaftar mewakili semua segmen kaum, jantina, umur dan lokaliti dengan jumlah nemurator seramai 17 orang sambil dibantu empat penyelia.

Data dikumpul menggunakan kaji selidik, observasi dan protokol temubual separa berstruktur yang kemudiannya dianalisis secara kuantitatif berstatistik dan kualitatif bertematik.

Ralat kesilapan yang ditentukan ialah 4.85% dengan tahap keyakinan sebanyak 95%.

Kajian itu turut mendapati hubungan antara Umno dengan PH yang semakin serasi secara langsung meyakinkan ‘pengundi putih’ untuk bersama menyokong calon perpaduan kali ini.

“Pemimpin Umno hanya mengurus ahli mereka agar menerima semangat kerajaan perpaduan dan kelangsungan parti itu dengan kerajaan demi kebaikan masa hadapan.

“Sebilangan ahli Umno yang protes dalam pilihan raya lalu mulai kembali menerima hakikat Umno bersama PH kerana tiada apa-apa kelebihan bersama pembangkang di Selangor serta PN juga tidak menyantuni mereka pasca pilihan raya,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.