
Menurut DBKL, pemeriksaan berkala sejak 2019 itu mengenal pasti 175 pokok berisiko tinggi berusia lebih 50 tahun, dan 147 daripadanya sudah ditebang.
“Pemeriksaan berkala telah dilaksanakan oleh arboris bertauliah dan pemeriksaan terakhir adalah pada Februari 2024, di mana 28 pokok telah dikenal pasti akan ditebang dalam tempoh terdekat,” kata DBKL dalam kenyataan.
DBKL berkata, pokok berisiko merujuk kepada pokok berpotensi tinggi mengalami kegagalan struktur dan tumbang, dan ia dikenal pasti melalui penilaian visual bagi mengesan kecacatan akar, dahan atau rekahan.
“Penilaian risiko pokok mempunyai tiga tahap dengan mengambil kira keadaan fizikal pokok di tapak, (dan) sekiranya keadaan fizikal pokok tidak memuaskan, penilaian lanjut akan dilakukan,” katanya.
“Seterusnya, tindakan mitigasi seperti cantasan, rawatan akar atau penebangan akan diambil seperti mana yang terkandung dalam Pelan Pengurusan Pokok Rendang DBKL yang diterbitkan pada 2019.”
DBKL berkata, pelan berkenaan dibuat dengan merujuk pelbagai agensi seperti Jabatan Landskap Negara; Persatuan Arborist Malaysia; Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM); Institute of Landscape Architects Malaysia (ILAM); Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia; Universiti Putra Malaysia; Universiti Teknologi Malaysia; dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.
Bagaimanapun, DBKL berkata, pihaknya sedang menambah baik Pelan Pengurusan Pokok Rendang itu dan menyediakan garis panduan baharu dengan memfokuskan kepada pokok berusia atau berisiko tinggi yang dijangka akan siap pada Julai.
“Kerja-kerja pemantauan dijalankan secara berterusan terhadap pokok-pokok berisiko dengan mengambil kira soal keselamatan termasuk aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 2 petang Selasa lepas, seorang lelaki maut, manakala dua lagi cedera selepas sebatang pokok tumbang menghempap 17 kenderaan dan landasan monorel susulan hujan lebat serta angin kuat di ibu kota.