Pasang CCTV di tandas skodeng rakan sekerja, akauntan didenda RM4,500

Pasang CCTV di tandas skodeng rakan sekerja, akauntan didenda RM4,500

Berdasarkan fakta kes mangsa yang juga ejen cukai menemui CCTV itu dan pemeriksaan mendapati tertuduh yang memasang alat berkenaan serta terdapat rakaman mangsa di tandas.

Majistret memerintahkan Chong Soon Hoe, 25, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda RM4,500. (Gambar Pexels)
MELAKA:
Seorang akauntan didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku mengaibkan kehormatan rakan sekerja wanitanya dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di tandas pada Selasa lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman memerintahkan Chong Soon Hoe, 25, dipenjara enam bulan, jika gagal membayar denda.

Chong didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa 28 tahun di sebuah pejabat dalam daerah Melaka Tengah pada 4.30 petang 7 Mei lepas, mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian, manakala tertuduh diwakili peguam Kent Tan Chow Teng.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang bekerja sebagai ejen cukai menemui CCTV itu dan pemeriksaan oleh wanita terbabit mendapati Chong memasang peralatan tersebut, selain terdapat rakaman mangsa di tandas.

Dalam prosiding itu, Tan memohon mahkamah mengenakan bon berkelakuan baik kepada anak guamnya kerana ia kesalahan pertama Chong dan tertuduh mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.