
Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata rundingan bersama antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan guru-guru seharusnya berlaku terlebih dahulu sebelum pengumuman dibuat.
Semalam, KPM mengumumkan keputusan peperiksaan SPM akan diumumkan pada 27 Mei, ketika waktu cuti persekolahan yang bermula 25 Mei.
Bagaimanapun, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mahu pengumuman itu diawalkan dua hari sebelum cuti sekolah bermula kerana kebanyakan guru sudah berada di kampung halaman dan ada yang sudah merancang percutian bersama keluarga.

“Perkara itu boleh dielakkan, apa salahnya kalau diumumkan seperti amalan sebelum ini iaitu waktu persekolahan kerana cikgu masih ada di sekolah.
“Untuk kes ni sepatutnya tindakan KPM tak berlaku macam ini, sepatutnya ada rundingan dan perbincangan di antara KPM dan guru-guru,” kata Anuar kepada FMT.
“Eloklah dipertimbangkan pandangan mereka kerana guru-guru telah merancang cuti masing-masing lebih awal.”
KPM dalam kenyataan semalam berkata calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan dari sekolah masing-masing bermula 10 pagi 27 Mei ini.
Calon sekolah dan persendirian juga boleh membuat semakan keputusan dalam talian untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan mulai 10 pagi 27 Mei hingga 6 petang 2 Jun ini.
Semakan juga boleh dibuat melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menghantar “SPM Nombor Kad Pengenalan Angka Giliran” ke 15888. Sistem itu akan diaktifkan mulai 10 pagi 27 Mei hingga 6 petang 2 Jun nanti.
Seramai 395,870 calon berdaftar menduduki SPM 2023 di 3,340 pusat peperiksaan seluruh negara mulai 5 Dis hingga 7 Mac lalu.