
Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan mempunyai data kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) berpunca daripada vaksin Covid-19 dan kaedah bagi merawat kesan sampingan itu.
“AstraZeneca telah menarik balik vaksin mereka dan ini adalah global, apa yang kita mahu pastikan kalau ada sesiapa ada bukti terkait dengan vaksin AstraZeneca itu, kita memang mempunyai cara untuk pastikan mereka diberikan bantuan.
“Memang ada kaedah kita sebagai kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan mereka dapat menjalani rawatan. Itu jaminan diberikan kerajaan. Kita akan tahu kes-kes sebegitu dan kita pun ada daftarnya, kita ada datanya,” katanya menurut Bernama dalam sidang media di Baling, Kedah.
Beliau berkata, kerajaan turut akan bertanggungjawab terhadap penerima vaksin daripada firma farmaseutikal lain seperti Pfizer-BioNTech dan Sinovac, sekiranya terbukti mereka mengalami kesan sampingan.
Rabu lalu, gergasi farmaseutikal global Britain-Sweden, AstraZeneca memutuskan penarikan balik vaksin Covid-19 di seluruh dunia kerana kekurangan permintaan dan “lebihan vaksin tersedia”.
Ditanya sama ada isu itu akan menimbulkan kebimbangan dan menghakis keyakinan masyarakat terhadap vaksin, Dzulkefly berkata, isu berkaitan vaksin Covid-19 tidak akan memberi kesan terhadap program vaksin lain, termasuk Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP).
Ini kerana, katanya, NIP yang menjadi amalan di negara ini sejak sekian lama berjaya meningkatkan imunisasi kanak-kanak serta mencegah jangkitan penyakit serius, walaupun ada segelintir pihak sangat sensitif dengan isu vaksin.
“Kita juga ada program vaksinasi seperti HPV untuk menamatkan kanser pangkal rahim, kita juga ada NIP di mana ibu bapa yang mempunyai anak akan berasa terbantut kerana vaksin ini mahal.
“Tidak ada pertikaian dalam hal itu, saya yakin rakyat tahu, punya pendidikan, pencerahan dan pengetahuan dan kita akan terus memberikan pendidikan kepada rakyat.”