
Niaz Asadullah, felo bersekutu Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial Universiti Malaya, berkata bank pusat menunjukkan kesabaran dalam melindungi kepentingan komuniti perniagaan.

“Ini akan memastikan kos pinjaman rendah dan merangsang perbelanjaan pengguna. Kadar faedah rendah biasanya diterjemahkan dalam kadar gadai janji lebih rendah. Begitu juga, akses kredit lebih murah baik untuk perniagaan.”
Beliau berkata dengan adanya alat dasar alternatif seperti menggalakkan entiti berkaitan kerajaan mengembalikan pendapatan pelaburan asing mereka bagi mengukuhkan ringgit turut membantu memelihara ruang dasar monetari.
“Pada masa sama, kerajaan optimis dengan masa depan ekonomi dan melihat pelarasan kadar faedah sebagai langkah terakhir dalam keadaan semasa,” kata ketua Pertubuhan Buruh Global di Asia Tenggara itu.
Beliau menjangkakan untuk melihat kadar faedah stabil buat masa ini. “Tetapi, ia banyak bergantung kepada cara kerajaan menguruskan tekanan inflasi kelak serta ringgit. Ketika ini, risiko inflasi dianggap sederhana.”
Pun begitu, beliau menjangkakan BNM mungkin melaras OPR lebih tinggi pada akhir tahun ketika melaksanakan potongan subsidi bahan api, khasnya jika pengurangan berperingkat tidak dapat dilakukan.
“Pemotongan subsidi petrol dan tenaga akan meningkatkan kos pengeluaran, menambah tekanan inflasi. Dan peningkatan inflasi memerlukan kenaikan OPR.”
Dalam langkah dijangkakan secara meluas, BNM mengekalkan kadar faedah penanda aras pada 3%, memetik aktiviti ekonomi bertambah baik dalam keadaan inflasi sederhana.
OPR kekal selama setahun kini. Kali terakhir BNM menaikkan OPR pada Mei 2023 sebanyak 25 mata asas, berbanding trend terkini rakan serantaunya.
Bank pusat Indonesia menaikkan kadar faedah penanda arasnya sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 6.25% bulan lalu untuk menyokong rupiah yang lemah, manakala Bangko Sentral ng Pilipinas menaikkan kadar utamanya sebanyak 25bps dalam mesyuarat luar kitaran Oktober lalu.
Sementara itu, HSBC Global Research berkata, ada beberapa sebab BNM mengekalkan OPR. Ketika Rizab Persekutuan AS (Fed) menangguhkan potongan kadarnya hingga akhir tahun ini, HSBC mendapati banyak bank pusat lain turut menangguhkan rancangan mereka untuk memulakan pelonggaran.
“Selain trajektori monetari Fed, keadaan ekonomi di Malaysia juga tidak menjamin pengurangan kadar segera. Pertumbuhan dan inflasi menunjukkan keperluan untuk pengekalan berpanjangan.”
HSBC berkata tiada sebab untuk menaikkan kadar itu kerana kenaikan kadar “bukan penawar untuk menyokong mata wang”, khasnya disebabkan kekuatan dolar AS yang luas.