
Selain 1MDB, saman difailkan semalam di Mahkamah Tinggi melalui Tetuan Lim Chee Wee Partnership turut menyenaraikan lima anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited dan SRC International Sdn Bhd selaku plaintif pertama hingga keenam.
Lima syarikat lain adalah Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited selaku plaintif ketujuh hingga ke-11.
Semua plaintif menamakan isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu dan seorang wanita iaitu Shabnam Naraindas Daswani (juga dikenali sebagai Natasha Mirpuri) sebagai defendan pertama dan kedua.
Dalam tuntutan saman itu, semua plaintif mendakwa barangan mewah berkenaan termasuk barang kemas, jam tangan dan beg tangan dibeli atau diperoleh Rosmah atau defendan kedua bukan dengan wang defendan pertama (Rosmah) sendiri tetapi dengan dana yang diseleweng daripada plaintif pertama hingga keenam.
“Dana tersebut disalurkan melalui pelbagai entiti luar pesisir termasuk plaintif ketujuh hingga ke-11 sebelum dibayar kepada 48 vendor berbeza untuk pembelian semua barangan mewah ini dan sebanyak 320 bayaran berjumlah USD346,010,489 telah dibuat,” menurut pernyataan tuntutan itu.
Oleh itu, semua syarikat terbabit antara lain menuntut Rosmah membayar USD346,010,489 atau sejumlah amaun yang ditaksirkan oleh mahkamah.
Semua plaintif turut memohon perintah agar Shabnam membayar ganti rugi atau pampasan yang akan ditaksirkan kemudian.
Selain itu, plaintif-plaintif turut memohon deklarasi antaranya plaintif pertama hingga keenam mempunyai hak terhadap barangan-barangan mewah tersebut yang kini didakwa berada dalam simpanan Rosmah.
Turut dimohon ialah ganti rugi teruk, teladan, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Pengurusan kes saman itu ditetapkan pada 24 Mei ini.