
Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan, berkata walaupun kerajaan berjanji menyelesaikan masalah penempatan 245 keluarga peneroka estet getah, itu belum cukup untuk memastikan nasib golongan terbabit betul-betul terbela, selagi janji berkenaan belum ditepati.
“Exco Selangor (Papparaidu) kata 15% pengundi India di KKB ‘solid’ akan undi parti kerajaan perpaduan selepas diumum nak bina rumah untuk penduduk, itu (umpama) mimpi di siang hari.
“Banyak lagi isu lain membelenggu penduduk (kaum) India, termasuk peluang pekerjaan dalam sektor tertentu dikuasai orang asing, jadi anak-anak muda tak ada peluang pekerjaan.
“Berdasarkan tinjauan di lapangan, memang orang India marah kepada kerajaan hari ini,” katanya kepada FMT.
Menyeru pengundi KKB tidak memboikot PRK, Punithan berkata pihaknya yakin sekurang-kurangnya 10% pengundi India akan memilih Perikatan Nasional (PN).
“Kita sasar tak kurang 10% pengundi India di KKB ini mengundi PN. Sasaran itu realistik (apabila) mengambil kira apa yang berlaku kepada masyarakat India ketika ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu, R Sri Sanjeevan mengingatkan pengundi India di KKB, walaupun sudah lebih 16 tahun Pakatan Harapan mentadbir Selangor, masalah membelenggu mereka gagal diselesaikan.
“Isu ladang, kerajaan negeri tak buat apa-apa sebelum ini, apabila sampai PRK baru nak selesai,” katanya.
“Exco kata isu perumahan orang India selesai sebab negeri dan pusat sudah beri peruntukan. Kita anggap buat masa ini ia hanya janji sahaja.”
Beliau turut bertanya sama ada Papparaidu “berani” meletak jawatan jika 15% pengundi India yang dinyatakan akan menyokong PH pada PRK tidak berbuat demikian.
Semalam, Papparaidu yang juga exco sumber manusia, pembasmian kemiskinan, hal ehwal orang asal dan minoriti Selangor, memberi jaminan pengundi India tidak akan memboikot PRK Kuala Kubu Baharu.
Malah, beliau yakin 15% pengundi India di kawasan itu akan menyokong parti kerajaan perpaduan kerana isu utama membelenggu mereka terutama penempatan sudah selesai.
PRK Kuala Kubu Baharu esok menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon DAP mewakili kerajaan perpaduan Pang Sock Tao, Khairul Azhari Saut daripada Bersatu mewakili PN serta calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainudin dan bebas Nyau Ke Xin.
Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Adun PH Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada Mac.