MIC sangkal dakwaan ‘boikot senyap’ PRK KKB, ancam kemuka saman

MIC sangkal dakwaan ‘boikot senyap’ PRK KKB, ancam kemuka saman

Komponen BN itu berkata MIC tidak akan bertoleransi terhadap apa jua cubaan sebar maklumat salah.

Thinalan-Rajagopalu
Ketua Penerangan MIC Thinalan T Rajagopalu, berkata pimpinan parti secara aktif terlibat berkempen di Kuala Kubu Baharu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
MIC menafikan dakwaan ‘boikot senyap’ pada PRK Kuala Kubu Baharu, sambil mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak membuat tuduhan itu, kata ketua penerangannya, Thinalan T Rajagopalu.

Katanya, MIC kekal bersatu dan menyokong penuh calon Pakatan Harapan (PH) pada PRK berkenaan.

“Sebarang cubaan menyemai perbalahan atau menyebarkan maklumat salah tidak akan diterima.

“Parti berhak mengambil tindakan undang-undang sewajarnya terhadap mana-mana pihak atau individu menyebarkan dakwaan palsu bertujuan menjejaskan integriti parti dan pimpinannya,” katanya dalam kenyataan.

Thinalan berkata, kepimpinan MIC secara aktif terlibat berkempen di kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu.

“Apa jua dakwaan menunjukkan perbezaan atau kurangnya sokongan terhadap keputusan parti adalah tidak benar,” katanya.

Baru-baru ini, The Malaysia Insight melaporkan konflik dalaman menjejaskan sokongan MIC kepada calon PH pada PRK itu.

Memetik sumber, laporan itu menyebut bukan semua ahli bersemangat berkempen untuk PH, walaupun parti tersebut sebahagian kerajaan perpaduan.

Perasaan tidak puas hati berpunca daripada persepsi parti itu dieksploitasi oleh kerajaan perpaduan, terutama PH, untuk mendapat kelebihan.

Thinalan berkata, MIC menuntut The Malaysian Insight dan wartawan mendedahkan sumber mereka. Jika gagal, katanya parti akan mengambil tindakan undang-undang.

PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, Pang Sock Tao, Khairul Azhari Saut dari Perikatan Nasional, Hafizah Zainuddin dari Parti Rakyat Malaysia, dan bebas, Nyau Ke Xin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.