
Khairul juga menafikan dakwaan bahawa beliau meniru manifesto calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao, lapor Sinar Harian.
“Bukan (tiru manifesto PH), ini hasil pertemuan bersama dengan akar umbi.
“Sebenarnya, manifesto ini dapat hasil keluhan pengundi di Kuala Kubu Bharu,” katanya.
Semalam, Adun Buntong dari DAP, M Thulsi Thivani mendakwa Khairul meniru manifesto PH kerana ia tidak ubah seperti dikemukakan Pang, malah ia dilancarkan lebih awal.
Thulsi berkata, Khairul pasti melancarkan manifestonya lebih awal sekiranya mempunyai wawasan sendiri untuk kawasan itu.
Pang dan Khairul bertanding dalam saingan empat penjuru pada PRK 11 Mei. Dua calon lain adalah Hafizah Zainuddin dari Parti Rakyat Malaysia, dan calon bebas, Nyau Ke Xin.
Pada Sabtu, Pang mendedahkan manifesto lima teras menumpukan aspek ekonomi, kemudahan, alam sekitar dan rekreasi, warisan dan budaya, serta kesejahteraan rakyat.
Calon DAP itu berkata di bawah teras ekonomi, beliau mahu merancakkan aktiviti ekonomi berlandaskan pembangunan industri di Hulu Selangor, selain memperkasakan sektor pelancongan dan keusahawanan.
Sementara itu, Khairul pada Isnin lalu melancarkan lima teras dalam manifesto merangkumi pembangunan, alam sekitar, ekonomi setempat, wanita dan belia, selain kumpulan minoriti.