
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berpendapat sekiranya parti pimpinan Wee Ka Siong itu kekal bersama BN maka tidak berlaku pertindihan kerana Umno memfokuskan kepada kerusi Melayu manakala MIC serta MCA kekal di kerusi bercampur.
“Jika bekerjasama dengan Gerakan, maka MCA terpaksa bersaing untuk tarik pengundi Cina. Masalahnya pengundi Cina 80-90% sekarang sudah beralih kepada DAP yang mengawalnya.
“Jadi sekarang yang tinggal 10-15% pengundi Cina yang perlu ditarik Gerakan dan MCA. Dalam hal ini mereka terpaksa berebut,” katanya kepada FMT.
Wee mengulas senario bakal dihadapi MCA sekiranya bergerak solo susulan kenyataan Wee kelmarin yang partinya tidak akan teragak-agak berbuat demikian pada PRU16 jika Umno berdegil untuk tetap bekerjasama dengan DAP.
Beliau menegaskan banyak keputusan dibuat Pengerusi BN Zahid Hamidi bersifat ‘unilateral’ atau sebelah pihak, termasuk pendirian mahu kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) diteruskan selepas PRU16.
Dalam maklum balasnya, Presiden Gerakan Dominic Lau berkata pihaknya terbuka menerima mana-mana parti berhasrat bekerjasama dengan PN termasuk MCA, jika mereka boleh menerima ideologi perjuangan gabungan itu.
Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula menjangkakan MCA akan berdepan kesukaran pada peringkat awal jika bergerak solo.
“Tetapi untuk jangka panjang kalau pengundi dapat terima MCA sebagai parti neutral, menjadi kuasa ketiga…mungkin ada peluang bangkit semula.
“Kalau masuk PN dan kerjasama dengan Gerakan, saya jangka tidak bawa apa-apa kesan bermakna,” katanya.
Bagi Jayum Jawan, penganalisis dari Universiti Putra Malaysia pula, kerjasama antara MCA dan Gerakan tidak akan menghasilkan apa-apa kerana kepimpinan sedia ada dilihat tidak berkaliber serta mempunyai haluan jelas.
“Bagi Gerakan, zaman pemimpin hebat seperti Lim Keng Yaik dan Koh Tsu Koon sudah lama berakhir, tidak nampak ada aura dan tarikan dapat membantu menghidupkan semula Gerakan.
“Begitu juga MCA, zamannya relevan di mata masyarakat Cina sudah lama berlalu…tak boleh diulang,” katanya.