
Fatimah Mohamed Arshad dari Universiti Putra Malaysia berkata walaupun status tanah telah diubah namun tujuan asalnya iaitu bagi penanaman padi harus dikekalkan bagi meningkatkan keterjaminan makanan negara yang masih berdepan kekurangan bekalan beras.
Beliau menegaskan pulangan ke atas pelaburan tidak seharusnya dijadikan ukuran pembangunan dengan mengabaikan kesan sampingan yang mungkin timbul seperti kesesakan serta pencemaran alam sekitar.
Menurut Fatimah, selain berfungsi sebagai ‘penyaman udara’, sawah padi terletak di kota dan bandar itu turut meningkatkan pendapatan petani, selain membantu dalam aspek jaminan keselamatan jangka panjang.
“Konsep sawah di kota mirip dengan konsep ‘perkebunan komuniti bandar’ yang menjadi trend di negara barat. Penduduk membeli sayur dan buah dari kebun berdekatan dengan bandar kerana mahu tahu dengan telus apa yang mereka makan dan apa baja atau bahan kimia digunakan.
“Walaupun belum meluas di Malaysia, namun sawah di kota adalah satu permulaan yang baik ke arah ini,” katanya kepada FMT.
Menteri Besar Kedah Sanusi Nor berkata kira-kira 10,000 hektar tanah sawah Mada itu telah dimasukkan di bawah Rancangan Tempatan Daerah (RTD) untuk dibangunkan dengan projek perumahan, industri (400 hektar) dan selebihnya bagi komersial.
Berdasarkan anggaran jumlah keluasan tanah itu, Sanusi berkata kerajaan Kedah kehilangan peluang pendapatan RM100 juta setahun yang boleh bertambah menerusi pengenaan cukai tanah, cukai pintu serta caj air.
Minggu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan secara dasarnya meluluskan perubahan status tanah itu untuk tujuan selain pertanian, bagi meningkatkan pendapatan negeri yang sebelum ini banyak bergantung kepada hasil pertanian.
Nasir Shamsudin dari Putra Business School pula berkata dikhuatiri keterjaminan makanan negara terjejas sekiranya kerajaan mengambil pendekatan dengan membangunkan tanah sawah untuk kegunaan lain.
Ini kerana katanya, Tahap Sara Diri (SSL) beras negara masih rendah iaitu 65% manakala defisit import makanan pula meningkat dari tahun ke setahun sehingga mencecah RM31 bilion pada tahun 2022.
“Bekalan makanan negara akan semakin rapuh. Ini juga menyebabkan pasaran beras negara lebih bergantung kepada perubahan pasaran global dan perubahan iklim yang tidak menentu,” katanya.
Beliau turut mencadangkan kerajaan laksanakan dasar guna tanah menerusi pemberian insentif fiskal kepada kerajaan negeri yang menyediakan ruang untuk sawah padi.
Menurutnya, jumlah yang tertentu yang dipersetujui sebagai ‘pampasan’ kos melepas guna tanah untuk tanaman padi.