Bantu rakyat Palestin melalui pertubuhan sah, kata pegawai Perbendaharaan AS

Bantu rakyat Palestin melalui pertubuhan sah, kata pegawai Perbendaharaan AS

Brian Nelson berkata ia bagi menghalang dana itu 'dialih kepada Hamas'.

Brian Nelson
Setiausaha Rendah Perbendaharaan AS untuk Terorisme dan Risikan Kewangan Brian Nelson berkata Washington melakukan apa terdaya untuk menyokong bantuan kemanusiaan disalur kepada rakyat Palestin.
KUALA LUMPUR:
Pegawai kanan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) berkata bantuan kemanusiaan di Gaza di tengah-tengah perang antara Israel-Hamas, sepatutnya disalurkan menerusi pertubuhan sah dan mempunyai reputasi.

Brian Nelson, yang juga setiausaha rendah Perbendaharaan AS untuk terorisme dan risikan kewangan, berkata ia bagi memastikan dana tidak dialihkan kepada Hamas, yang mana Washington mengkategorikannya sebagai pertubuhan pengganas.

Katanya, Hamas tidak mengumpul dana secara terbuka, sebaliknya menggunakan ‘tipologi pengubahan wang’ untuk langkah sedemikian.

Nelson berkata, pertubuhan itu didakwa ‘menyalah guna’ sektor bukan berkeuntungan demi mencipta tanggapan palsu bahawa dana disalurkan secara langsung kepada rakyat Palestin atau digunakan bagi tujuan kebajikan, sambil menambah ia mencetuskan kebimbangan.

Katanya, AS berpandangan mendanai Hamas akan melanjutkan konflik sedia ada.

“Kami fikir ia adalah kunci menamatkan konflik, namun alasan fundamental adalah memastikan sumber (dana) berkenaan benar-benar sampai kepada rakyat Palestin dan bukan diperguna dalam konflik,” katanya dalam wawancara dengan beberapa media.

Nelson berkata, AS sebenarnya membuat pemisahan antara Hamas dengan rakyat Palestin, sambil menyuarakan pentadbiran Rumah Putih ‘melakukan apa terdaya untuk menyokong bantuan kemanusiaan sampai kepada rakyat Palestin’.

Ditanya pendirian Putrajaya berkait Hamas, beliau berkata Washington mengiktiraf kerajaan Malaysia mempunyai pandangan berbeza terhadap pertubuhan itu.

Dua hari lalu, Nelson berkata AS sedang berusaha menghalang Malaysia daripada menjadi tempat untuk kumpulan Hamas mengumpul dana dan memindahkan wang.

Pada November, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Malaysia akan mengekalkan kerjasama dengan Hamas menerusi sayap politiknya sahaja.

Bagaimanapun, Nelson merasakan terdapat peluang dalam kepentingan bersama yang didengarinya dalam banyak tempat dikunjungi.

“Tiada sesiapa pun mahu sistem kewangan mereka disalah guna oleh mana-mana pihak. Tidak kiralah siapa mereka atau kenapa mereka terlibat dalam aktiviti terlarang itu,” katanya.

Nelson berada di Malaysia bagi melaksanakan agenda Perbendaharaan AS memerangi pembiayaan keganasan dan keuntungan dijana untuk Iran dan proksinya.

Terdahulu, Reuters melaporkan berlaku peningkatan pergerakan wang kepada Iran dan proksinya, termasuk Hamas menerusi sistem kewangan Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.