Sukar bagi Malaysia dapat ganti pembekal senjata, kata pakar

Sukar bagi Malaysia dapat ganti pembekal senjata, kata pakar

Negara kecil seperti Malaysia akan berdepan masalah jika berhenti berurusan dengan Lockheed Martin dan BAE Systems, kata Lam Choong Wah.

LockheedMartinPentagon
Pada Isnin, Dr Mahathir Mohamad mengusulkan agar kerajaan segera menghentikan urusan dengan kontraktor yang membekalkan senjata kepada Israel. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Malaysia akan menghadapi masalah mendapatkan pembekal senjata baharu jika memutuskan untuk tidak lagi membeli daripada pembekal biasanya, Lockheed Martin dan MBDA (BAE Systems), menurut seorang pakar pertahanan.

Lam Choong Wah daripada Universiti Malaya berkata, mencari alternatif berdaya maju kepada kedua-dua pembekal senjata ini akan menjadi tugas sukar bagi sebuah negara kecil seperti Malaysia.

“(Kita) tak sama dengan negara besar seperti China dan Rusia yang mempunyai pilihan untuk tidak membeli (daripada Lockheed Martin dan BAE Systems),” katanya kepada FMT.

Lam mengulas cadangan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad agar kerajaan segera menolak berurusan dengan dua kontraktor pertahanan itu.

Gesaan itu disokong oleh Bersatu dan kumpulan pro-Palestin Sekretariat Solidariti Palestin (SSP).

Pada Isnin, Mahathir berkata, kerajaan perlu segera menghentikan urusan dengan kontraktor yang membekalkan senjata kepada Israel dalam konfliknya dengan Hamas di Gaza.

Kedua-dua syarikat itu menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia ke-18 di Kuala Lumpur dari 6 hingga 9 Mei.

Mengulas seruan Mahathir, Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata, Malaysia tidak akan campur tangan dalam hubungan syarikat pertahanan global dengan negara lain.

Lam berkata, kedua-dua syarikat itu penting bukan sahaja bagi prasarana pertahanan Malaysia, tetapi juga bagi negara pro-Palestin yang lain.

“Lockheed Martin dan BAE Systems adalah antara pengeluar senjata terbesar di dunia, dan banyak negara pro-Palestin, termasuk Malaysia, mengekalkan kerjasama rapat dengan mereka,” katanya.

Lockheed Martin mempunyai perniagaan yang besar di wilayah pro-Palestin, termasuk Timur Tengah.

Pada 23 Ogos tahun lepas, syarikat itu menjual 24 helikopter Black Hawk kepada Indonesia, kemudian memperoleh perjanjian untuk membekalkan jet pejuang F-16 kepada Turki. Perjanjian itu telah diluluskan oleh kerajaan AS pada Januari.

Seorang penyelidik kajian pertahanan yang enggan dinamakan memberitahu FMT, Lockheed Martin menjual senjata kepada mana-mana pihak yang berminat, bukan hanya Israel.

“Banyak negara membeli senjata untuk menambah simpanan mereka sebagai persediaan (menghadapi konflik). Hanya negara pro-Palestin yang mungkin menyertai boikot (terhadap syarikat pembekal senjata itu),” katanya.

Kuasa-kuasa global juga akan terus menyokong Lockheed Martin, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.