Piala Sumbangsih: Keselamatan pemain terjamin, kata Razarudin

Piala Sumbangsih: Keselamatan pemain terjamin, kata Razarudin

Ketua polis negara berkata tambahan anggota polis dan tahap keselamatan juga dipertingkatkan untuk memastikan keselamatan pemain dan penonton.

razarudin
Ketua Polis Negara Razarudin Husain polis Johor meningkatkan tahap keselamatan dan jumlah anggota untuk perlawanan pada Jumaat ini.
PETALING JAYA:
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata keselamatan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC dijamin pada perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang dijadual Jumaat ini.

Katanya, katanya tambahan anggota polis dan tahap keselamatan juga dipertingkatkan oleh polis Johor sebagai persediaan untuk perlawanan tersebut, yang diminta ditangguhkan oleh Selangor FC.

Razarudin berkata, keputusan untuk menangguhkan perlawanan itu terletak di bawah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), bukannya polis.

“Tetapi seperti yang diberitahu ketua polis Johor (M Kumar), persediaan keselamatan pegawai dan anggota polis akan dipertingkatkan serta diatur dengan begitu ramai dan rapi.

“Ini bagi memastikan keselamatan keseluruhan semua pihak termasuk pemain dan peminat,” katanya ketika dihubungi FMT.

“Insya-Allah, saya percaya keselamatan semua dijamin”.

Selangor FC memohon untuk menangguhkan perlawanan pembukaan musim 2024/2025 itu dengan JDT atas faktor keselamatan.

Semalam, CEO MFL Stuart Ramalingam memberitahu FMT perbincangan berhubung perlawanan itu masih berlangsung dengan kedua-dua pasukan.

Ini susulan kejadian serangan asid terhadap pemain sayap Selangor FC Faisal Halim, yang kini menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Shah Alam.

Faisal yang disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli belah di Kota Damansara, dan mengalami kecederaan terbakar tahap empat.

Kejadian itu adalah serangan kedua terhadap pemain bola sepak pada minggu lalu selepas pemain Terengganu FC diserang dua penyamun ketika pulang dari menjalani latihan pada malam Khamis.

Malam tadi, pemain JDT Safiq Rahim juga diserang dua lelaki bermotosikal, apabila salah seorang suspek menggunakan tukul untuk memecahkan cermin keretanya.

Persatuan Bola Sepak Malaysia kemudiannya mengeluarkan nasihat kepada pemain untuk mempertimbangkan mengambil perkhidmatan pengawal keselamatan untuk menjaga keselamatan mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.