
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, hasil pemantauan itu akan dibentangkan dalam Jawatankuasa Syariah bagi tindakan lanjut.
Katanya, fahaman ajaran itu dipercayai diketuai seorang individu mengaku dirinya Imam al-Mahdi menggunakan gelaran Abdullah Hashem Aba al-Sadiq, manakala pendeta mereka di Malaysia dan Indonesia bernama Kashfullah Amaluddin.
“Ajaran ini menyeru orang ramai turut menjadi pengikut Imam al-Mahdi dan pemimpin Imam Mahdi yang didakwa muncul masa kini, mereka mempercayai penjelmaan semula, juga mempercayai utusan Tuhan itu terdiri daripada pelbagai manusia hebat daripada pelbagai agama seperti Nabi Ibrahim, Krishna, Zoroaster, Buddha, Zeus, Moses, Aristotle, Socrates, Pythagoras, Plato, Nabi Isa dan Nabi Muhammad,” katanya dalam catatan di Facebook.
Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat laman sesawang dan menurunkan lima kandungan media sosial berkaitan ajaran sesat itu, selain menjalin kerjasama strategik bersama Jakim, jabatan agama negeri serta polis bagi mengekangnya terus berleluasa.