
Ahli Parlimen Bagan Serai Idris Ahmad berkata Anwar yang membawa agenda Madani dalam pentadbirannya harus melakukan pembaharuan termasuk memberi ruang kepada pihak lain memberi pandangan.
Jelasnya, tidak adil untuk perdana menteri mengatakan Ahli Parlimen pembangkang tidak pandai ekonomi sehingga menjemput mereka mendengar kuliah mengenainya.
“Patutnya orang Madani mesti ada pembaharuan jangan bawa legasi, jangan bawa cara lama,” katanya kepada FMT.
Idris yang juga naib presiden PAS mengulas kenyataan Anwar semalam yang mendakwa pembangkang sering mengelirukan orang ramai dengan fakta tidak tepat, selain sering memperlekeh dan mencerca usaha kerajaan meningkatkan ekonomi serta produktiviti penjawat awam.
Sehubungan itu, Anwar mencadangkan Ahi Parlimen pembangkang diberi kuliah ekonomi untuk memahami keadaan sebenar.
Sementara itu, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata kritikan pembangkang semata-mata untuk memastikan ketelusan melalui elemen semak dan imbang.
“Ini perkara-perkara yang kami persoalkan bukan nak bermusuh dengan perdana menteri, kita nak persoalkan ketelusan, keikhlasan, dan keberanian perdana menteri untuk melakukan reformasi yang dilaung-laungkan.
“Pembangkang sudah lama buat kerja semak dan imbang,” katanya yang juga ketua Pemuda Bersatu sambil menegaskan mereka tidak perlu diajar untuk menjalankan tugas itu.
“Itu sebab kami tanya kerana ini kerja pembangkang, buat semak dan imbang.”