
Dalam laporannya pada 29 Mac 2024, juruaudit bebas PricewaterhouseCoopers PLT berkata kumpulan dan syarikat itu mengalami kerugian bersih masing-masing RM78.7 juta serta RM63.3 juta pada tahun kewangan 2023.
Pada 31 Dis 2023, liabiliti semasa kumpulan dan syarikat melebihi aset semasa, masing-masing RM895 juta dan RM439 juta, dengan merekodkan kekurangan modal RM274.1 juta.
Seperti dinyatakan dalam Nota 2 penyata kewangan itu, perkara atau keadaan ini menunjukkan wujud ketidakpastian material yang mungkin menimbulkan keraguan ketara terhadap keupayaan kumpulan dan syarikat meneruskan kesinambungan perniagaan.
“Pandangan kami tidak berubah berhubung perkara ini,” kata juruaudit itu.
Sementara itu, Pharmaniaga dalam makluman kepada bursa berkata Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) melalui surat bertarikh 23 Jun 2023 memutuskan untuk meluluskan penyenaraian dan sebut harga sehingga 131.02 juta penempatan saham baharu yang akan diterbitkan di bawah cadangan tawaran saham persendiriannya. Tawaran saham persendirian itu selesai pada 24 Julai 2023.
Selain itu, permohonan berkaitan cadangan terbitan hak yang disemak dengan waran, cadangan tawaran saham persendirian disemak dan cadangan pengurangan modal, iaitu sebahagian cadangan pelan regularisasi Pharmaniaga diumumkan pada 19 Feb lalu dan diserahkan kepada Bursa Securities untuk kelulusan pada 23 Feb lalu.
“Selepas kelulusan cadangan pelan regularisasi itu, pelaksanaannya dijadualkan buat sementara waktu untuk suku keempat 2024. Kumpulan menjangkakan untuk menyelesaikan isu berkaitan ketidakpastian material ini selepas pelaksanaan cadangan pelan regularisasi.”