Inspektor mengaku tak salah halang tugas pegawai atasan, keluar kata kesat

Inspektor mengaku tak salah halang tugas pegawai atasan, keluar kata kesat

K Gopi didakwa menghalang tugas Khairil Azuad Abd Azis dengan enggan memberi keterangan membabitkan satu laporan polis yang diarahkan pegawai kanan polis itu.

Majistret S Mageswary membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan. (Gambar Pexel)
KUALA LUMPUR:
Seorang pegawai polis berpangkat inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menghalang tugas dan mengeluarkan kata kesat kepada pegawai kanan polis berpangkat ASP, tiga hari lepas.

K Gopi, 34, didakwa menghalang tugas Khairil Azuad Abd Azis dengan enggan memberi keterangan membabitkan satu laporan polis yang diarahkan pegawai kanan polis itu di Pejabat Bahagian D6, Tingkat 3, Menara 2 Bukit Aman, Dang Wangi, di sini pada 12.10 tengah hari 5 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa mengeluarkan kata kesat dan kurang sopan terhadap pegawai polis sama di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Sareeka Balakrishnan tidak menawarkan jaminan, namun peguam K Shunmugam memohon jaminan diberikan atas alasan anak guamnya mempunyai masalah kesihatan, iaitu sakit leher yang memerlukan rawatan perubatan, selain mempunyai tanggungan keluarga.

Majistret S Mageswary membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 11 Jun ini untuk sebutan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.