
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Shuhaily Mohd Zain, berkata individu di sebalik akaun itu dilihat cuba mengganggu dan mencetuskan persepsi negatif, berhubung kejadian pemain Selangor FC Faisal Halim disimbah asid.
“Kita dapati akaun Instagram berkenaan adalah palsu,” katanya pada sidang media di Bukit Aman.
Terdahulu, seorang pemilik akaun Instagram mendakwa dipanggil polis untuk membantu siasatan kes membabitkan Faisal.
Dia mendakwa mempunyai maklumat dan diminta menutup mulut supaya tidak mendedahkan kejadian sebenar yang menimpa pemain kebangsaan itu.
Sementara itu, polis sedang memantau semua akaun media sosial dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.
“Kita ada kenal pasti beberapa akaun media sosial, dan kita dapati akaun-akaun ini sekejap ada sekejap tiada,” katanya.
Shuhaily menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi ‘yang mana beri ruang orang berkepentingan atau berniat jahat untuk tangguk di air yang keruh’.
“Kami siasat dari semua segi dan aspek,” katanya, memberi perkembangan terkini siasatan kes serangan terhadap Akhyar Rashid, Faisal dan Safiq Rahim.
Sebelum ini, Akhyar yang juga pemain Terengganu FC disamun dua lelaki dalam kejadian di Kuala Terengganu Khamis lalu.
Akibat kejadian itu, Akhyar menerima enam jahitan serta kerugian lebih RM4,800.
Faisal disimbah asid dalam kejadian di Kota Damansara, Petaling Jaya, pada Ahad. Beliau dilaporkan mengalami kelecuran tahap empat dan kini dalam keadaan stabil selepas pembedahan kedua.
Terbaru, kenderaan milik pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim diserang dua lelaki bermotosikal di Johor Bahru, semalam.