Warga emas ditipu RM3.4 juta, diperdaya scammer skim simpanan tetap

Warga emas ditipu RM3.4 juta, diperdaya scammer skim simpanan tetap

Suspek licik memperdaya menerusi bayaran faedah RM70,000 bagi yakinkan mangsa terus tambah simpanan.

Ketua Polis Johor M Kumar berkata tiada nama dan syarikat mangsa didaftar dalam skim simpanan itu, malah wang diterima suspek disalur dalam akaun individu lain. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Warga emas kerugian RM3.4 juta selepas terpedaya pulangan skim simpanan tetap yang menawarkan kadar faedah menguntungkan, disertai sejak 2019.

Mangsa berusia 62 tahun yang juga pemilik kedai ‘hardware’, tidak syak penipuan selepas menerima faedah RM70,000 pada 2020, sekali gus menyakinkannya terus menambah simpanan.

Ketua Polis Johor M Kumar, berkata mangsa didatangi perempuan warga tempatan yang dikatakan pengurus sebuah institusi perbankan dari Kuala Lumpur pada Januari 2018, menawarkan skim simpanan tetap pada kadar faedah baik.

“Percaya dan tertarik dengan tawaran diberikan, mangsa membuat bayaran di atas enam cek antara 3 April 2019 hingga 23 Mac 2023 dengan secara serahan tangan kepada suspek di syarikat mangsa bertugas.

“Namun, pada awal Januari 2024, apabila mangsa ingin mengeluarkan faedah lain, suspek memberikan pelbagai alasan. Mangsa mula curiga dan dimaklumkan resit pembayaran diberikan suspek adalah palsu,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, tiada simpanan tetap atas nama mangsa dan syarikatnya didaftarkan.

“Segala pembayaran dibuat mangsa kepada suspek dimasukkan ke dalam akaun individu lain,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan

Kumar menasihatkan orang ramai supaya lebih waspada dan tidak mudah percaya kepada sebarang tawaran diberikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.