
Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, menurut Berita Harian.
Beliau turut memaklumkan siasatan kes berkenaan kini diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“Suspek direman lima hari hingga 11 Mei, dan siasatan diambil alih oleh USJT,” katanya.
Dalam kejadian itu, pemain Harimau Malaya yang juga penjaring gol tercantik Piala Asia itu dihampiri dua individu bermotosikal sebelum bertindak menyimbah asid kepadanya.
Kejadian menyebabkan beliau mengalami lecur di beberapa bahagian badan, iaitu sekitar leher, bahu, lengan dan dada.
Faisal kemudian dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Petaling Jaya dan dilaporkan mengalami kelecuran tahap empat.
Sementara itu, beliau yang dipetik Kosmo berkata suspek pertama yang ditahan berhubung kes itu disahkan tidak terlibat.
Menurutnya, suspek berusia 20-an yang ditahan di Pandan Indah, Ampang, kelmarin itu dibebaskan dengan jaminan selepas didapati bukan pelaku kes.
Ini kerana katanya, suspek sebenar didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Nombor pendaftaran motosikal digunakan pelaku, sama dengan nombor pendaftaran nombor pendaftaran motosikal milik suspek yang ditahan.
“Siasatan mendapati suspek pertama tiada kaitan dengan kes ini dan akan dibebaskan,” katanya ketika dihubungi.